Bersatu S’wak mahu tempoh PM dilanjut

KUCHING: Bersatu Sarawak inginkan tempoh jawatan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad dilanjutkan sehingga habis penggal ini dan bersetuju cadangan tersebut tanpa rasa prajudis.

“Peralihan kuasa Perdana Menteri tidak harus dilakukan dengan tergesa-gesa ketika PRN Sarawak mungkin berlangsung seawal tahun hadapan,” kata Setiausaha Interim Bersatu Sarawak, Jaziri Alkaf Suffian.

Tambah Jaziri, Bersatu berharap konsep perkongsian kemakmuran yang diilhamkan Tun Mahathir harus diterapkan dalam setiap lapisan masyarakat dan bukan dilihat hanya sekadar perkongsian hasil bumi sesebuah negeri.

“Bagi mengekalkan kestabilan ekonomi, politik dan kehidupan sosial, kepimpinan Tun M masih diperlukan rakyat Malaysia,” ujar Jaziri.

Jelasnya, GPS seharusnya lebih fokus terhadap isu tempatan seperti isu tanah adat penduduk pribumi masih membelenggu rakyat Sarawak sejak sekian lama.

“Kerajaan Persekutuan juga memainkan peranan tinggi berkhidmat demi rakyat Sarawak dan usaha ini tidak harus diperlekeh oleh Kerajaan Sarawak,” ujar Jaziri.