ARTIKEL

Bersedia awal hadapi banjir

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SETIAP tahun, kita boleh lihat beberapa kawasan di negara kita dilanda banjir sehinggakan bencana alam itu bukan masalah asing kepada segelintir penduduk setempat.

Banjir yang melanda Malaysia boleh dikategorikan banjir kilat atau ribut tropika dan banjir monsun.

Disebabkan itu, setiap negeri akan membuat persiapan masing-masing untuk menangani bencana alam ini di kawasan mereka.

Bercakap mengenai bencana banjir, Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam (APM) Aminurrahim Mohamed baru-baru ini mendedahkan, sebanyak 5,648 kawasan berisiko banjir dikenal pasti di seluruh negara pada musim Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.

Daripada angka itu, sebanyak 1,066 lokasi dikenal pasti di Sarawak; 798 lokasi di Sabah;750 di Pahang; 745 di Johor; 617 di Kelantan; 286 di Perak; dan 271 di Selangor.

Kawasan lain termasuk 260 lokasi di Kedah; Terengganu (258 lokasi); Pulau Pinang (241 lokasi); Melaka (124 lokasi); Negeri Sembilan (120 lokasi); Kuala Lumpur (73 lokasi); Perlis (22 lokasi); dan Labuan (17 lokasi).

Berdasakan data ini, banjir merupakan bencana paling kerap berlaku di Malaysia dan ia boleh terjadi di kawasan rata atau rendah. Banjir berlaku apabila kandungan air di permukaan bumi berlebihan dan ini biasanya disebabkan hujan lebat.

Bagaimanapun terdapat juga beberapa faktor lain yang turut menyumbang kepada bencana itu.

Seperti yang pernah dikatakan oleh Pakar Meteorologi di Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan, Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah, hujan berterusan menyebabkan peningkatan paras air sungai pada tahap waspada dan bahaya.

Jumlah taburan hujan yang tinggi juga katanya, menyebabkan hutan dan sungai tidak boleh lagi menampung curahan hujan yang turun.

Jika kita melihat laman sesawang METMalaysia pula, cuaca di Malaysia dicirikan oleh dua rejim monsun iaitu Monsun Barat Daya yang bermula dari akhir Mei hingga September, dan Monsun Timur Laut dari November hingga Mac.

Fasa peralihan monsun

Monsun Timur Laut membawa hujan lebat terutamanya kepada negerinegeri di pantai timur Semenanjung Malaysia, barat Sarawak dan timur Sabah, manakala Monsun Barat Daya secara relatifnya menunjukkan cuaca lebih kering.

Tempoh peralihan dua monsun ini dikenali sebagai fasa peralihan monsun.

Dalam hal ini, walaupun kita sudah mendapat amaran awal mengenai bencana banjir, namun ada tempat yang tidak pernah dijangka banjir dilanda bah besar itu.

Contohnya, pada Februari tahun lalu kawasan Mukim Kanibongan kira-kira 25 kilometer dari pekan Pitas, Sabah dilanda banjir besar.

Berdasarkan laporan, penduduk tidak menyangka kampung mereka pertama kali dilanda banjir besar kerana ia tidak pernah berlaku sejak 23 tahun lepas.

Kali terakhir kawasan berkenaan dilanda banjir besar pada 1999 yang menenggelamkan banyak rumah.

Oleh demikian, banjir bukan sahaja menyusahkan mangsa, ia juga memberi kerugian besar kepada negara.

Jabatan Perangkaan Malaysia mendedahkan, Malaysia kerugian RM622.4 juta akibat bencana banjir di seluruh negara kecuali Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya tahun lalu berbanding RM6.1 bilion pada tahun sebelumnya.

Dalam laporan Khas Mengenai Kesan Banjir di Malaysia 2022, jabatan itu menyatakan, jumlah kerugian tahun lalu terdiri daripada aset awam dan infrastruktur sebanyak RM232.7 juta, tempat kediaman (RM157.4 juta), pertanian (RM154.5 juta), premis perniagaan (RM50.3 juta), kenderaan (RM18.8 juta) dan sektor pembuatan sebanyak RM8.7 juta.

Sejajar itu, kajian oleh Pertubuhan Meteorologi Sedunia mendedahkan, banjir merupakan bencana alam ketiga besar yang mengorbankan banyak nyawa dan kerosakan harta benda.

Maka, persediaan awal menghadapi banjir sangat penting khususnya bagi mereka yang tinggal di kawasan yang berisiko atau kawasan pernah dilanda banjir sebelum ini.

Kesimpulannya, dapatkan maklumat tentang banjir di tempat anda.

Dengan semua maklumat itu, anda boleh bertindak lebih awal untuk menghadapi sebarang kemungkinan di kemudian hari khususnya dalam mengurangkan kos kerugian yang ditanggung akibat banjir.

BERITA LAIN

Ancaman halus dunia hiburan

HAMPIR semua orang mengakui kesan negatif terhadap akhlak dan tingkah laku dalam kalangan masyarakat akibat filem dan siri yang banyak memaparkan adegan ganas, seks, ekstremisme

BERITA TERBARU

Kelibat Ayu Az’zetty curi tumpuan

BINTULU: Berbekalkan latihan selama sebulan, pendatang baharu muaythai, Ayu Az’zetty Allyya Azmi, mencuri tumpuan apabila mencatat kemenangan menerusi tumbukan teknikal (TKO) pada hari pertama Kejohanan