Dalam suasana geopolitik yang semakin tegang di Asia Barat, seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar rakyat dan sektor perniagaan berjimat cermat bukan sekadar nasihat biasa, malah merupakan peringatan penting tentang realiti ekonomi global yang saling berkait.
Konflik yang melibatkan kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Israel dan Iran bukan sahaja mencetuskan ketidaktentuan politik, malah turut memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan dunia, termasuk Malaysia.

Dalam dunia yang saling berhubung ini, sebarang gangguan di satu wilayah mampu mencetuskan gelombang ekonomi yang dirasai hingga ke peringkat pengguna biasa.
Selain itu, salah satu titik paling kritikal dalam konflik ini ialah Selat Hormuz, iaitu laluan sempit tetapi amat strategik yang menjadi nadi penghantaran minyak global.
Dianggarkan hampir 20 peratus daripada bekalan minyak dunia melalui Selat Hormuz setiap hari. Oleh itu, sebarang gangguan di kawasan ini akan menyebabkan harga minyak melonjak, sekali gus meningkatkan kos pengangkutan serta logistik di seluruh dunia.
Justeru, kenaikan harga bahan api bukan sahaja memberi kesan kepada sektor industri, malah turut menjejaskan harga barangan keperluan harian seperti makanan dan barangan pengguna.
Apabila kos pengangkutan meningkat, harga barangan import, termasuk makanan, turut meningkat, sekali gus memberi tekanan kepada pengguna, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Seterusnya, dalam konteks Malaysia, kesan ini mungkin tidak dirasai serta-merta.
Namun, dalam tempoh satu hingga dua bulan, tekanan kos dijangka mula dirasai oleh peniaga dan pengguna.
Peniaga kecil mungkin terpaksa menaikkan harga bagi menampung kos bahan mentah dan logistik, manakala pengguna pula perlu menyesuaikan perbelanjaan harian.
Walaupun kerajaan menyatakan kedudukan ekonomi negara masih stabil dalam tempoh awal, hakikatnya pemulihan penuh akan mengambil masa yang lebih panjang.
Oleh hal yang demikian, rakyat perlu bersedia dari sekarang dengan mengurus kewangan secara lebih berhemah dan strategik.
Di samping itu, amalan berjimat cermat bukan bermaksud mengorbankan kualiti hidup sepenuhnya, sebaliknya lebih kepada membuat pilihan yang bijak berasaskan keutamaan.
Sebagai contoh, jika sebelum ini kita membeli 10 jenis kuih untuk hidangan harian atau majlis kecil, kini mungkin memadai untuk mengurangkannya kepada lima sahaja.
Begitu juga dengan perbelanjaan lain seperti makan di luar, langganan hiburan, atau pembelian barangan tidak penting.
Pendekatan ini bukan sahaja membantu mengurangkan perbelanjaan kecil yang sering diabaikan, malah melatih disiplin kewangan dalam jangka panjang. Selain itu, utamakan keperluan berbanding kehendak.
Dalam keadaan tidak menentu, perbelanjaan perlu difokuskan kepada perkara asas seperti makanan, utiliti, pendidikan dan kesihatan.

Justeru, elakkan pembelian impulsif yang tidak dirancang kerana boleh menjejaskan aliran tunai bulanan.
Elakkan pembelian panik yang hanya akan memburukkan keadaan pasaran seperti yang pernah berlaku dalam isu bekalan beras sebelum ini.
Apabila permintaan meningkat secara mendadak, stok menjadi terhad dan harga meningkat.
Oleh itu, sikap rasional amat penting bagi memastikan bekalan kekal mencukupi untuk semua lapisan masyarakat.
Di samping itu, kawal penggunaan hutang.
Dalam hal ini, pesanan “jangan menambah hutang” perlu diambil serius oleh semua pihak.
Tambahan pula, dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, mengambil komitmen kewangan baharu seperti pinjaman peribadi, penggunaan kad kredit secara berlebihan, atau pembelian secara ansuran boleh menjadi beban sekiranya berlaku penurunan pendapatan.
Oleh itu, sebaiknya tangguhkan sebarang komitmen besar kecuali benar-benar perlu dan disertai perancangan kewangan yang jelas. Selain itu, bina tabung kecemasan.
Walaupun sukar dalam keadaan kos sara hidup yang meningkat, cuba asingkan sebahagian kecil pendapatan setiap bulan sebagai simpanan.
Tabung ini amat penting sebagai perlindungan kewangan sekiranya berlaku kejutan seperti kehilangan pekerjaan, masalah kesihatan, atau kenaikan kos hidup secara mendadak.
Dalam pada itu, sokong dan belilah barangan tempatan.
Kita bukan sahaja membantu ekonomi negara dan usahawan kecil, malah turut mengurangkan kebergantungan kepada import yang terdedah kepada turun naik harga global.
Langkah ini juga dapat membantu menstabilkan harga dalam negara dalam jangka panjang.
Bagaimanapun, kejayaan menghadapi cabaran ini bergantung pada kerjasama semua pihak, sama ada rakyat, peniaga, mahupun pembuat dasar. Ketelusan maklumat, dasar yang responsif, serta sikap pengguna yang berhemah akan menjadi faktor penentu dalam mengurangkan kesan krisis ini.
Kesimpulannya, konflik di Asia Barat dan risiko gangguan di Selat Hormuz merupakan peringatan jelas bahawa ekonomi dunia saling berkait.
Oleh itu, sebarang peristiwa berlaku ribuan kilometer dari Malaysia tetap memberi kesan kepada kehidupan harian.
Justeru, langkah paling bijak ialah bersedia dari sekarang dengan berbelanja secara berhemat, mengelakkan hutang yang tidak perlu, memperkukuh simpanan dan kekal rasional dalam setiap keputusan kewangan.
Dalam keadaan tidak menentu ini, disiplin kewangan merupakan benteng terbaik untuk melindungi kesejahteraan diri dan keluarga.


