ARTIKEL

BERTANDAK, rumah bergegar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

“EBAH…. sampe pagi.” Antara kata-kata pertama yang saya dengar kali pertama menyaksikan orang muda bertandak (tarian Melayu Sarawak) di Kampung Sadong Jaya.

Jika tidak salah, ketika itu saya masih lagi di sekolah rendah. Saya masih ingat ketika itu, orang muda – lelaki dan wanita beramai-ramai datang ke rumah datuk saya.

Latar masanya pada waktu malam. Sekitar 10 malam. Puluhan lelaki dan wanita sudah berada di pekarangan rumah. Setelah seh gendang memulakan paluan gendang, wanita tadi segera naik ke rumah menggunakan tangga dapur menuju ruang tamu.

Mereka duduk di belakang tirai kain batik, yang memisahkan tempat duduk seh gendang dengan penari (pemuda lelaki).

Suasana semakin gamat, apabila dua orang dewasa tampil bertandak sambil cuba berbalas pantun dengan dua seh gendang. Pantun dinyanyikan secara spontan. Mungkin mereka sudah ingat pantun tersebut, ataupun mereka memang pakar dalam membina bait-bait pantun secara spontan.

Kemudian, dua lagi lelaki – kini orang muda masuk ke tempat bertandak. Bermula dari pintu, mereka berdua sudah bertepuk tangan.

Bermakna meminta ruang daripada dua penari awal tadi untuk bertandak. Walaupun tidak begitu mahir bertandak, mereka tetap berani untuk tampil.

“Pa tunggu gik Atan? Masuk gik,” kata Bujang kepada Atan.

“Ndak kumaok Jang,” jawab Atan.

“Mun kau maok, kita duak sama-sama bertandak,” cadang Bujang lagi.

Setelah memulakan langkah bertandak, badan Atan yang agak besar seolah-olah menggegarkan rumah datuk saya.

Patutlah datuk sudah menambah tiang rumah seminggu sebelum itu. Rupa-rupanya persediaan untuk menerima jumlah penduduk yang ramai datang ke rumah hadir majlis perkahwinan mak cik saya.

Biasanya penduduk kampung kan bergotong-royong membantu kerja tersebut.

“Wah… Wak Ali, ado bergendang ka?” “Ada,” jawab datuk saya yang lebih dikenali sebagai Wak Ali.

“Mun cam yo, maok koat gelegar tiang tok…” cadang Wan Leman.

Walaupun rumah semacam bergegar, namun Atan yang ligat bertandak menarik perhatian beberapa wanita di sebalik tirai kain batik.

Biasanya mereka ini belum lagi berkahwin. Masing-masing cuba mengintai melihat siapa yang bertandak. Ada yang tersenyum malu, malah ada juga yang berbisik-bisik.

“Atan duhal, patutlah bergegar rumah tok.”

Beberapa minit kemudian, datang pula Man – anak guru kumpulan kompang Jawa muncul di depan pintu. Dia menepuk tangan meminta ruang daripada Bujang. Bujang faham dan terus keluar memberikan ruang kepada Man.

Seminit bertandak, Man mula mengambil pembesar suara. Sambil bertandak, dia melontarkan pantun kepada seh gendang. Man mempunyai suara yang agak sedap, dan pandai pula berpantun. Pantunnya cuba memancing hati salah seorang seh gendang. Mereka masing-masing berbalas pantun.

Dipanjangkan cerita, saya mendapat tahu Man memang menyukai seh gendah pada malam itu, namun saya tidak ingat namanya. Daripada pantun biasa-biasa, Man mula menjual pantun bercerita tentang hati.

Bukan mukun sebarang mukun,

Mukun kamek berisi beras,

Bukan pantun sebarang pantun,

Pantun kamek minta dibalas.

Kemudian seh gendang yang turut menyimpan perasaan cinta dengan Man membalas.

Asam paya buah di hutan,

Dalam sepompong masak sebiji,

Sungguh kacak wajahmu tuan,

Dalam kampung payah dicari.

Pantun-pantun ini berjaya mengikat hati Man dan seh gendang tadi. Mereka akhirnya berjanji temu selepas nopeng. Setiap kali ada acara bertandak, Man akan hadir.

Begitu juga seh gendang tadi. Setelah lama bertemu, mereka mengikat janji untuk berkahwin. Ini antara bait pantun mungkin juga pernah dinyanyikan hingga ke hari ini.

Namun, hanya dapat didengar pada majlis tertentu sahaja. Paling tidak pun, hanya dapat ditonton di saluran YouTube. Tidak ramai tahu bertandak, apatah lagi berbalas-balas pantun ketika nopeng.

Hari ini, sukar menyaksikan persembahan tandak pada majlis perkahwinan. Jika ada pun, hanya diadakan pada sebelah siang. Kadang-kadang hanya menggunakan rakaman video. Tiada lagi seh gendang yang memukul gendang.

Jika mahu mengadakan persembahan gendang ketika majlis perkahwinan, dimaklumkan perlu mendapat kebenaran polis. Ini untuk pemantauan. Semuanya gara-gara ada kes pergaduhan berlaku ketika bertandak. Berebut seh gendang.

Tetapi, selepas itu hingga hari ini tiada lagi perebutan. Tidak ramai wanita bujang menjadi seh gendang. Biasanya yang sudah berusia, yang masih mahu mengekalkan tradisi Sarawak ini.

Inilah kisah gendang Sarawak, mengajak saya untuk belajar bertandak.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Presiden Rusia tawa perdamaian bersyarat kepada Ukraine

MOSCOW, Rusia: Presiden Rusia, Vladimir Putin, semalam mencadangkan perdamaian kepada Ukraine dengan menggariskan syarat-syarat Rusia untuk menamatkan serangan dan memulakan rundingan damai, lapor Agensi Anadolu