
KUCHING: Parti politik yang bertanding harus bertanding secara bersih, adil dan tidak menggunakan taktik kotor, gesa Setiausaha Publisiti Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Batu Kitang Leonard Tan.
Ia berikutan satu video yang berdurasi 1 minit 49 saat memaparkan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Stampin Lo Khere Chiang yang disunting seolah beliau mencemuh orang ramai.
Sehubungan itu, Leonard mengetuai sekumpulan Pemuda SUPP Cawangan Batu Kitang telah tampil membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Maong, di sini jam 3 petang tadi.
Katanya kepada media, video tersebut menjadi tular di kumpulan Whatsapp pagi tadi dan Khere Chiang menjadi bahan cemuhan orang ramai ekoran itu.
“Video tersebut sebenarnya mengenai YB Lo bercakap mengenai ikan empurau yang disunting dari Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.
“Kali ini mereka sunting sehingga mengelirukan rakyat sehingga salah faham terhadap YB Lo sampai ada rakyat keluarkan ayat tidak bagus terhadapnya,” katanya selepas selesai membuat laporan polis.
Leonard berkata, akibat video yang disunting tersebut ia seolah menggambarkan Khere Chiang bersifat perkauman.
“Sebenarnya, kalau dalam video yang sebenar sepanjang dua jam itu, tidak ada membawa maksud itu,” ujarnya.
Tegasnya, sekiranya inginkan pertandingan yang bersih dalam PRU-15, parti politik harus menunjukkan pencapaian yang telah dilakukan mereka sebelum ini.
“Kita bertanding berdasarkan keputusan. Kita gunakan rekod pencapaian berbanding taktik kotor sebegini,” katanya.