Beting Maro Best jenama baharu

PUSA: Kesemua produk terbaik dari Dun Beting Maro akan diketengahkan di pasaran domestik serta global di bawah satu jenama Beting Maro Best (BMB).

Adunnya Razaili Gapor memberitahu, BMB merupakan jenama khusus yang direka untuk mempromosi produk tempatan yang berpotensi tinggi.

Bagaimanapun katanya, setiap usahawan perlu memenuhi kriteria tertentu untuk memudahkan produk dipasarkan dengan kualiti terbaik.

“Usahawan harus mengutamakan kualiti produk, kalau tidak agak sukar untuk kita melepasi pasaran. “Seperti pensijilan Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP) dan Halal.

Ini amat penting supaya pembeli yakin dengan produk yang dikeluarkan.

“Sebab itu, BMB kita wujudkan sebagai penanda aras semua produk terbaik di Beting Maro,” katanya pada Bengkel Pembungkusan dan Pelabelan Produk bersempena program Rindok Digital @ Pusa di Dewan Rahmaniah.

Jelasnya, antara perkara lain ialah aspek pembungkusan dan pelabelan produk yang mampu menarik perhatian pembeli.

“Mungkin sesetengah orang melihat perkara ini remeh tetapi sebenarnya cukup penting.

“Justeru, kita membawa Unimas untuk memberi pendedahan lanjut dan terperinci tentang perkara tersebut,” ujarnya.

Razaili menggalakkan peniaga di sini memasarkan produk mereka secara dalam talian untul melahirkan ramai usahawan digital.

“Kita berusaha memperkenalkan konsep e-perniagaan kepada usahawan luar bandar yang masih menjalankan operasi secara konvensional.

“Selain mengadakan program dan bengkel untuk meningkatkan kadar celik teknologi maklumat, sekali gus menjadi medium antara usahawan luar bandar dengan dunia perniagaan digital.

“Percayalah, ilmu digital dan Internet sangat besar manfaatnya dalam Revolusi Industri 4.0 hari ini,” jelasnya.

Razaili menambah, dengan adanya kemudahan seperti ini produk-produk dapat dipasarkan ke peringkat global hanya dengan menggunakan hujung jari.

“Malah Kerajaan Sarawak hari ini giat mempromosikan ekonomi digital dan kita sebagai rakyat tidak harus ketinggalan kita turut serta, insyaAllah ada kejayaan bersama,” ujarnya.

Pengenalan tentang pembungkusan dan pelabelan produk disampaikan oleh Dr. Nadianatra Musa dan Dr. Dayang Hanani Abang Ibrahim.

Manakala pengenalan reka bentuk grafik dikongsikan oleh Nur Hanie Mohamed. Hadir sama Timbalan Ketua Saintis SMA Profesor Ir. Dr. Al-Khalid Othman.

Suara Sarawak