ARTIKEL

Abang Johari berucap pada Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Betong 2026, hari ini.

Betong bakal muncul pusat pertumbuhan ekonomi baharu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BETONG: Betong dijangka muncul sebagai antara hab pertumbuhan baharu Sarawak menerusi pelaburan strategik dalam pembangunan infrastruktur, pertanian moden, pelancongan, pendidikan serta rangkaian pengangkutan yang bakal merancakkan lagi ekonomi bahagian itu.

Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, landskap pembangunan Betong telah berubah dengan ketara dalam tempoh lima tahun lalu hasil pelaksanaan pelbagai projek strategik, dengan lebih banyak inisiatif sedang dirancang bagi memperkukuh pertumbuhan ekonomi dan sosial kawasan itu.

“Betong sudah berubah wajah dan saya yakin perubahan itu akan terus berlaku pada masa depan, sama ada dari segi pembangunan ekonomi mahupun sosial,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Betong 2026, di sini, hari ini.

Menurutnya, pembangunan infrastruktur menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi bahagian tersebut dengan membuka peluang kepada pelbagai sektor baharu untuk berkembang.

“Selain infrastruktur, kita turut memberi tumpuan kepada pembangunan yang mampu meningkatkan aktiviti ekonomi di kawasan ini, termasuk sektor pertanian melalui taman agro dan penggunaan teknologi bagi meningkatkan pengeluaran.

“Sektor pelancongan turut mempunyai prospek besar dengan kewujudan tarikan bersejarah seperti Bukit Sadok yang mampu menarik lebih ramai pelawat ke kawasan tersebut,” jelasnya.

Tambahnya, jaringan jalan raya yang semakin baik serta pembangunan Batang Ai akan memperkukuh lagi potensi pelancongan dan ekonomi di Bahagian Betong.

“Kejayaan Batang Ai mengeksport ikan tilapia ke Singapura membuktikan kawasan luar bandar berupaya menjana ekonomi bernilai tinggi apabila disokong oleh infrastruktur dan logistik yang cekap.

“Dengan jaringan jalan raya yang lebih baik serta kemudahan STOLport untuk membawa kargo, termasuk barangan mudah rosak, terus ke pasaran, saya percaya pembangunan di kawasan ini akan berkembang dengan lebih pesat,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata Kerajaan Sarawak turut memperkukuh infrastruktur utiliti dengan menyediakan peruntukan RM180 juta bagi menaik taraf sistem bekalan elektrik di Bahagian Betong bagi memenuhi peningkatan permintaan.

Beliau berkata, Kerajaan Sarawak akan terus memperkukuh pembangunan Betong melalui pelaksanaan dasar dan pelaburan strategik bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara seimbang oleh seluruh masyarakat di kawasan itu.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU