DALAT: Angkatan Pertahanan Awam (APM) menangkap seekor biawak sepanjang 1.76 meter di Kampung Kuala Tengah Oya, di sini, semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Dalat Leftenan Muda (PA) Muhammad Helmi Halim berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pengadu pada jam 6.53 petang.
“Setibanya di lokasi, pengadu mengatakan seekor biawak telah memasuki ruang dapur rumahnya.
“Dengan menggunakan alat penjerut dan penyepit, biawak tersebut berjaya ditangkap dengan kaedah menjerut,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Ujarnya, tangkapan tersebut berjaya dilakukan pada jam 7.30 malam.
Setelah mendapati keadaan di lokasi selamat dan terkawal, pasukannya kembali ke Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD).





