WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS): Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, mengkritik Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berhubung perang ke atas Gaza, dan menyifatkan pendekatan Netanyahu sebagai satu “kesilapan”.
“Saya fikir apa yang dia lakukan adalah satu kesilapan. Saya tidak bersetuju dengan pendekatannya,” kata Biden kepada rangkaian TV berbahasa Sepanyol, Univision, yang berpangkalan di AS dalam satu temu bual pada Selasa, lapor Agensi Anadolu.
“Apa yang saya minta ialah Israel melaksanakan gencatan senjata, membenarkan akses sepenuhnya bagi tempoh enam hingga lapan minggu akan datang untuk semua makanan dan ubat masuk ke negara itu,” katanya.
“Tiada alasan untuk tidak menyediakan keperluan perubatan dan makanan bagi penduduk. Ia perlu dilakukan sekarang.”
Menurut Anadolu, kenyataan Biden dibuat selepas beliau berkata dalam satu kenyataan pada minggu lepas bahawa beliau “marah” dan “sedih” dengan serangan udara Israel di Gaza yang mengorbankan tujuh pekerja badan amal makanan yang berpangkalan di AS, World Central Kitchen.
Beliau menekankan bahawa Israel “tidak melakukan secukupnya untuk melindungi pekerja bantuan”.
Israel telah melancarkan serangan tentera di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober tahun lepas, membunuh lebih 33,300 penduduk Palestin dan mencederakan hampir 76,000 lagi selain menyebabkan kemusnahan kediaman dan infrastruktur pada skala besar serta kekurangan barangan keperluan.
Rejim Zionis di Israel dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), yang pada Januari lepas mengeluarkan arahan kepada Tel Aviv untuk menghentikan tindakan genosid dan mengambil langkah bagi menjamin bantuan kemanusiaan sampai kepada orang awam di Gaza. – BERNAMA-ANADOLU






