PIC: Hazland (tengah) menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara wakil BidMyAsset Borneo, Amirul (dua dari kanan) dan NuraTech.
KUCHING: BidMyAsset Borneo Sdn Bhd menyasarkan aset industri lebihan di Sarawak untuk dipasarkan semula menerusi perkhidmatan pengurusan pelupusan secara menyeluruh.
Pengarahnya, Amirul Annuar berkata, perkhidmatan itu meliputi proses penilaian aset, kajian pasaran, pemasaran, lelongan, transaksi hingga penghantaran kepada pembeli.
Beliau berkata demikian ketika pelancaran BidMyAsset Borneo yang dihadiri Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni, di sebuah hotel di sini, hari ini.
BidMyAsset kemudian mengenal pasti pembeli berpotensi, memasarkan peralatan, mengurus lelongan dan transaksi serta menyelaras kerja membuka, membungkus dan menghantar aset jika diperlukan.
Sementara itu, pelancaran itu turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara BidMyAsset Borneo dan NuraTech Sdn Bhd.
Menerusi kerjasama itu, NuraTech akan membantu menghubungkan BidMyAsset Borneo dengan rangkaian sedia ada bagi urusan pelupusan dan pembelian aset.
Hazland dalam ucapannya berkata, kemasukan platform berkenaan merupakan antara bentuk respons sektor swasta yang diperlukan ketika industri Sarawak terus berkembang dan melalui proses peralihan.
Usaha sektor swasta membangunkan platform, kerjasama dan infrastruktur yang menyokong pertumbuhan industri turut membantu memperkukuh ekosistem ekonomi negeri.
“Kerajaan negeri akan terus menyediakan dasar, kejelasan kawal selia dan sokongan institusi yang diperlukan bagi membolehkan syarikat beroperasi serta melabur di Sarawak dengan yakin.
“Pada masa sama, sektor swasta perlu menunjukkan komitmen dan pemikiran jangka panjang yang seiring dengan usaha membangunkan ekosistem industri negeri,” katanya.



