SARIKEI: Tindakan nekadnya berhenti menjadi seorang pegawai Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional enam tahun lalu tidak merugikan apabila dia kini menjadi usahawan yang berjaya.
Pemilik syarikat Fadillah Enterprise satu-satu anak Bumiputera yang mengusahakan jualan trak makanan dan pemprosesan daging burger halal di Sarikei, Mohammad Fadillah Ali Seman, 33, mengakui tidak menyesal walaupun ketika itu dia sudah mempunyai gaji tetap bulanan selain kedudukan yang stabil.
Katanya, dia berjinak-jinak dalam dunia perniagaan sejak bangku sekolah lagi dan minatnya terhadap bidang berkenaan semakin menebal sebaik usianya menginjak dewasa.
“Sebagai orang yang berkerja tetap saya juga tidak terlepas daripada tanggapan masyarakat yang menganggap kerja makan gaji adalah segala-galanya. Namun, saya memilih meletakkan jawatan semata-mata mahu memberi fokus terhadap perniagaan.
“
Sebelum menyertai Tekun, saya sering membantu orang tua mengusahakan kantin dan gerai makanan.

Saya tidak menafikan pengaruh besarnya bermula dari situ. Malah, ketika bekerja, saya menjual makanan dan pakaian secara sambilan di tapak-tapak pesta,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.
Fadillah mengakui, segala yang dimiliki kini tidak datang dengan mudah sebaliknya hasil kesungguhannya mencari ilmu untuk menceburi bidang tersebut.
Menurutnya, dia cukup bertuah kerana memiliki isteri dan keluarga yang sentiasa memberikan sokongan padu selain memahami minatnya untuk mencari nafkah sendiri dengan berniaga.
“Saya sedar untuk berjaya bukan sesuatu mudah. Justeru, saya perlu mencari guru dan tahu sendiri ramuannya supaya apa yang diusahakan lebih maju. Bertitik tolak daripada itu, saya sering dengan menghadiri kelas persendirian hingga berjaya menghasilkan produk sendiri,” katanya.
Menyingkap kembali detik awalnya dalam perniagaan makanan segera itu, Fadillah memberitahu, dia tertarik dengan kesungguhan seorang peniaga berpengalaman di Sarikei yang mampu berdikari dengan hanya menjual burger.
Peniaga veteran itu katanya, menjadi sumber inspirasi untuk menceburi bidang berkenaan secara serius.
“Wan Burger memang terkenal di Sarikei. Burgernya sedap dan cukup laris. Kegigihan Wan Burger mengusahakan perniagaan itu sehingga berjaya menarik minat saya untuk mengikuti jejak langkahnya,” katanya.

Menceritakan lanjut, Fadillah berkata, dia mula menjual burger pada usia 19 tahun di Sungai Paoh sebelum bergerak ke serata tempat di sekitar Sarikei termasuk di tapak acara keramaian yang menjadi tumpuan orang awam.
Hasil usaha kecil-kecilan itu katanya, dikumpul untuk membeli trak tunda bagi memudahkan lagi urusan perniagaannya.
“Alhamdulillah, sambutan yang saya terima memang cukup menggalakkan. Percaturan saya selama bertahun-tahun tidak sia-sia. Berkat usaha itu, saya berjaya membeli sebuah trak makanan yang kini digunakan untuk menjual burger setiap malam di hadapan restoran 1Malaysia,” katanya.
Trak burger Big Bos milik Fadillah kini menjadi tumpuan orang ramai apabila memperkenalkan beberapa burger unik seperti Best Burger, Syok Burger, 3F Burger, Timpak, Burger Itik, Sauh dan Arnab yang berharga antara RM5.00 hingga RM12.00.
“Saya memulakan perniagaan pada jam 7.30 hingga 11.30 malam bergantung kepada sambutan pelanggan. Pada masa sama, saya tidak perlu risau bekalan daging burger kerana semua dihasilkan sendiri,” katanya yang akan membuka kilang pemprosesan daging burger halal tidak lama lagi.
Menyingkap rahsia kejayaannya hari ini, anak muda berasal dari Sarikei ini berkata, kegigihan dan sikap tidak berputus asa amat penting yang perlu ada dalam jiwa usahawan terutama Bumiputera.
“Dalam pada itu, semakin banyak kita memberi, insya-Allah lebih banyak yang kita akan dapat. Harus ikhlas dan istiqamah dalam melakukan setiap kerja,”ujarnya.
Foto utama: Trak burger Fadillah yang beroperasi di hadapan Restoran 1Malaysia, menjadi tumpuan ramai.