KUCHING: Pameran Halal Antarabangsa Borneo (BIHAS) 2026 yang berlangsung dari 21 hingga 23 Julai ini bakal menjadi platform padanan perniagaan (business matching) antara pengeluar dengan pembeli, sekali gus mempromosikan produk halal berpotensi dari Borneo ke pasaran yang global.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Penyelaras Projek Untuk Agensi Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, BIHAS merupakan platform bertaraf antarabangsa merangkumi Persidangan Halal Antarabangsa dan Pameran Halal Antarabangsa.
Katanya, program itu juga bakal menghimpunkan pemain industri halal, pembuat dasar, pelabur, usahawan, ahli akademik dan pakar industri bagi memperkukuh kerjasama, berkongsi pengetahuan serta meneroka peluang baharu dalam ekonomi halal.
“Pameran Halal Antarabangsa BIHAS 2026 akan menampilkan pelbagai produk dan perkhidmatan halal daripada syarikat-syarikat dari Sarawak, Semenanjung Malaysia, Sabah, Indonesia dan Brunei Darussalam.
“Ia juga memberi peluang kepada pengunjung untuk mengenali produk halal berkualiti, membuka ruang kepada usahawan untuk memperluas jaringan perniagaan dan pasaran,” katanya pada sidang media sempena penganjuran BIHAS 2026, di Hotel Waterfront Kuching, hari ini.
Mengulas lanjut, tambahnya, Persidangan Halal Antarabangsa yang julung kali diadakan di sini akan menghimpunkan lebih daripada 30 penceramah bertaraf antarabangsa dari Malaysia, Singapura, Brunei Darussalam, Indonesia, Türkiye, Arab Saudi, Brazil dan Jepun.
“Persidangan ini akan membincangkan pelbagai isu serta perkembangan terkini industri halal global, termasuk inovasi, pensijilan, perdagangan, pelaburan dan pembangunan industri halal,” ujarnya.
Sementara, BIHAS 2026 yang berlangsung selama tiga hari di Kuching Waterfront Square dan Hotel Waterfront Kuching itu juga dijadual dirasmikan oleh Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 21 Julai.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan, sempena perasmian tersebut, Premier akan melancarkan Pelan Pembangunan Industri Halal Sarawak 2026–2030 serta menyaksikan majlis pertukaran enam dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) bagi kerjasama strategik dalam pembangunan industri halal.
Sementara itu, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED), Datuk Seri Mohd Naroden Majais memaklumkan ekspo berkenaan turut berfungsi sebagai platform padanan perniagaan (business matching) yang menghubungkan pengeluar dengan pembeli.
Menurutnya, BIHAS 2026 akan mengetengahkan pelbagai produk yang berpotensi tinggi untuk dipasarkan khususnya produk keluaran Sarawak, selain penyertaan produk dari Brunei Darussalam, Sabah dan wilayah lain yang mengambil bahagian.



