ARTIKEL

MANGSA penipuan mungkin mengalami perasaan malu, bersalah, kecewa dan bimbang, selain hilang kepercayaan terhadap orang lain. Foto Janaan Al

Bijak belum tentu kebal penipuan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KEBIJAKSANAAN, pendidikan tinggi dan pengalaman hidup sering dianggap sebagai benteng yang mampu melindungi seseorang daripada menjadi mangsa penipuan. Namun, apabila emosi dipermankan, individu yang paling berhati-hati sekalipun boleh terperangkap dalam tipu daya penjenayah siber.

Ada mangsa yang sanggup menyerahkan wang simpanan dan terus mempercayai penipu walaupun sudah diberi amaran oleh keluarga. Persoalannya, mengapa seseorang boleh membuat keputusan yang bertentangan dengan logik dan pertimbangannya sendiri?

Pensyarah Kaunseling Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr. Shahrul Kamaruddin berkata, kecerdasan intelektual tidak menjamin seseorang terhindar daripada penipuan kerana penjenayah turut mengeksploitasi kelemahan psikologi manusia.

Menurutnya, individu berpendidikan tinggi juga boleh menjadi mangsa akibat terlalu yakin terhadap kemampuan sendiri untuk mengenal pasti penipuan, keadaan yang dikenali sebagai overconfidence bias.

“Penipu memanfaatkan bias kognitif, khususnya kecenderungan mempercayai pihak yang kelihatan berautoriti atau profesional. Penyamaran identiti, penggunaan bahasa yang meyakinkan dan desakan supaya bertindak segera boleh mengaburi pertimbangan seseorang.

“Kecerdasan intelektual tidak menjadikan seseorang kebal terhadap penipuan kerana penjenayah bukan sahaja memperdaya pemikiran, malah memanipulasi emosi, persepsi dan kepercayaan mangsa,” katanya.

Emosi mengatasi pertimbangan

Dr. Shahrul berkata, ketakutan, ketamakan dan keterujaan merupakan antara emosi utama yang sering dieksploitasi penipu untuk mempengaruhi tindakan mangsa.

Antara taktik yang digunakan termasuk menyamar sebagai pihak berkuasa, membuat ancaman, mendesak mangsa bertindak segera serta menjanjikan pulangan lumayan.

“Penipu turut mengeksploitasi kelemahan psikologi manusia seperti tekanan emosi, kecenderungan mempercayai orang lain serta fenomena takut terlepas peluang atau fear of missing out (FOMO).

“Ketakutan boleh menyebabkan seseorang panik dan mematuhi arahan tanpa berfikir panjang, manakala keinginan memperoleh keuntungan segera mendorong individu mengambil risiko yang tidak munasabah,” jelasnya.

Tambah beliau, masalah kewangan, tekanan hidup dan kesunyian turut meningkatkan kerentanan seseorang terhadap penipuan.

Individu yang menghadapi kesempitan kewangan mungkin melihat tawaran pelaburan sebagai jalan keluar, manakala mereka yang kesunyian lebih mudah terikat secara emosi dengan individu yang memberikan perhatian dan kasih sayang.

Terperangkap dalam penafian

Lebih merumitkan keadaan, sesetengah mangsa terus mempercayai penipu meskipun diberi amaran oleh keluarga atau rakan.

Dr. Shahrul menjelaskan keadaan itu boleh dikaitkan dengan bias pengesahan atau confirmation bias, iaitu kecenderungan seseorang untuk menerima maklumat yang menyokong kepercayaannya dan menolak bukti yang bertentangan.

Pada masa sama, fenomena kesilapan kos tertanam atau sunk cost fallacy mendorong mangsa untuk terus menyerahkan wang dengan harapan dapat memperoleh semula wang yang telah hilang.

“Semakin mendalam keterlibatan emosi dan kewangan mangsa, semakin sukar mereka menerima hakikat bahawa mereka telah ditipu, walaupun amaran sudah diberikan.

“Perasaan malu, bersalah dan takut dipersalahkan juga boleh menyebabkan mangsa menyembunyikan kejadian serta enggan mendapatkan bantuan daripada keluarga atau pihak berkuasa,” katanya.

Luka emosi selepas ditipu

Menurut Dr. Shahrul, kesan penipuan bukan sekadar kerugian kewangan, malah boleh menjejaskan kesejahteraan psikologi mangsa.

Antara kesannya termasuk tekanan emosi, kehilangan keyakinan diri, gangguan tidur, kemurungan dan kesukaran mempercayai orang lain.

Justeru, sokongan keluarga dan masyarakat amat penting bagi membantu mangsa pulih tanpa dihukum atau dipersalahkan.

Kaunseling memulihkan keyakinan

Dari perspektif kaunseling, Dr. Shahrul berkata, mangsa perlu diberikan ruang selamat untuk meluahkan perasaan dan mendapatkan sokongan sewajarnya.

Pendekatan terapi tingkah laku kognitif (CBT) boleh membantu mangsa mengurus pemikiran negatif, menangani tekanan dan membina semula keyakinan diri.

Bagi mangsa yang mengalami trauma berpanjangan, intervensi lanjut termasuk rujukan kepada profesional kesihatan mental mungkin diperlukan.

Pada masa sama, pendidikan mengenai taktik penipuan dan tindakan segera seperti menghubungi institusi kewangan, menyekat transaksi, mencurigakan serta membuat laporan kepada pihak berkuasa amat penting.

Mengakhiri perkongsiannya, Dr. Shahrul mengingatkan orang ramai supaya tidak membiarkan emosi atau desakan mempengaruhi keputusan, terutamanya yang melibatkan wang.

“Ingat, apabila seseorang mendesak kita membuat keputusan dengan segera, itulah masanya kita perlu berhenti dan berfikir dengan lebih teliti. Lebih baik terlepas sesuatu peluang daripada kehilangan wang akibat penipuan,” tegasnya.

BERITA LAIN

Amanah bentuk generasi

Anak-anak merupakan anugerah dan amanah yang sangat bernilai daripada Allah SWT. Kehadiran mereka bukan sekadar menjadi penyeri kehidupan ibu bapa, malah mereka merupakan generasi yang

Nyaris hilang arah di Gunung Serapi

Tiada seorang pun rakannya kelihatan. Laluan hutan yang disangka menuju ke kawasan air terjun semakin sunyi, manakala setiap langkah membawa Muhammad Harith Adli lebih jauh

BERITA TERBARU

Bank darah Perancis mangsa serangan siber

PARIS: Sistem penyejukan bank darah Perancis menjadi sasaran serangan siber, serupa dengan serangan terhadap sistem penyejukan di seluruh Eropah awal minggu ini, menurut bank darah

Dua maut helikopter tentera terhempas

JAKARTA: Angka kematian meningkat kepada dua orang selepas sebuah helikopter tentera Indonesia terhempas di perairan pulau Borneo ketika misi memadamkan kebakaran pada Rabu, menurut pihak