ARTIKEL

Nyaris hilang arah di Gunung Serapi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Tiada seorang pun rakannya kelihatan. Laluan hutan yang disangka menuju ke kawasan air terjun semakin sunyi, manakala setiap langkah membawa Muhammad Harith Adli lebih jauh daripada kumpulan pendaki yang disertainya.

Pemuda berusia 22 tahun itu mula menyedari sesuatu yang tidak kena apabila perjalanan yang pada awalnya menyenorkan bertukar menjadi pengalaman mencemaskan di tengah hutan Gunung Serapi.

Dalam keadaan cemas, Harith mempercepatkan langkah sebelum berlari menyusuri laluan berkenaan dengan harapan dapat menemukan semula rakan-rakannya.

Namun, keadaan bertambah membimbangkan apabila dia terpaksa melalui jambatan yang rosak akibat dihempap pokok besar sebelum tiba di kawasan berparak kawat duri.

Ketika itulah dia menyedari laluan yang dilaluinya sebenarnya ditutup atas faktor keselamatan.

Pengalaman pada 8 Mei 2025 ini meninggalkan kesan mendalam kepada Harith, sekali gus mengubah cara dia melihat aktiviti mendaki yang menjadi sebahagian daripada kehidupannya sejak melanjutkan pengajian di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Bagi mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Antropologi dan Sosiologi itu, kejadian tersebut bukan sekadar pengalaman tersesat, tetapi juga pengajaran tentang pentingnya persediaan, ketenangan dan disiplin ketika berada di kawasan hutan.

HARITH (tengah) mengabadikan kenangan bersama dengan rakan-rakan di puncak Tajur Rambung.

Buka minat baharu

Berasal dari Perak, Harith mengakui kehidupan di Sarawak memberikan pengalaman berbeza, khususnya dari segi peluang meneroka alam semula jadi.

Jika sebelum ini, masa lapangnya lebih banyak dihabiskan di rumah dengan aktiviti memasak dan mengemas, kehidupan sebagai mahasiswa di negeri ini mendorongnya untuk mencuba kegiatan luar yang lebih mencabar fizikal.

Sebenarnya, minat terhadap aktiviti mendaki sudah lama wujud dalam dirinya. Namun, beberapa kekangan menyebabkan hasrat itu sukar direalisasikan ketika berada di negeri kelahirannya.

Antaranya termasuk jarak lokasi pendakian yang jauh dari rumah, kos permit dan urusan mendapatkan kebenaran untuk memasuki kawasan tertentu.

Keadaan itu berbeza apabila dia mula mengenali beberapa lokasi pendakian di sekitar Kuching dan Bau yang menawarkan pengalaman mendaki dengan kos lebih berpatutan.

Menurutnya, terdapat kawasan pendakian yang mudah diakses dan tidak memerlukan perbelanjaan tinggi, sekali gus membolehkan golongan mahasiswa sepertinya memiliki keindahan alam semula jadi tanpa perlu menyediakan bajet besar.

Peluang tersebut dimanfaatkan Harith untuk mengisi masa lapang dengan aktiviti yang bukan sahaja meningkatkan kecergasan fizikal, malah memberikan pengalaman baharu di luar bilik kuliah.

Baginya, setiap pendakian membuka ruang untuk mengenali keindahan Sarawak dari perspektif berbeza, selain mengeratkan hubungan dengan rakan-rakan yang berkongsi minat sama.

HARITH (kanan) bersama-sama rakannya merakam kenangan dengan peta trek Gunung Kuwai pada 25 Mei 2025.

Gunung Singai tinggalkan kenangan

Antara lokasi yang meninggalkan kenangan paling bermakna buat Harith ialah Gunung Singai di Bau.

Pada 4 Jun 2025, dia bersama-sama seorang rakan karib mengambil keputusan untuk meneroka laluan pendakian gunung berkenaan.

Walaupun hanya berdua, pengalaman itu cukup menguji ketahanan fizikal dan mental mereka, khususnya ketika melalui laluan curam yang memerlukan tenaga serta tumpuan tinggi.

Setiap langkah menuntut kesabaran, manakala keletihan semakin terasa apabila mereka meneruskan pendakian menuju ke puncak.

Bagaimanapun, segala keperitan seolah-olah terubat setelah selesai menjejak destinasi dan disajikan dengan panorama alam semula jadi yang memukau.

Keindahan pemandangan dari kawasan tinggi itu memberikan kepuasan tersendiri kepada Harith, sekali gus mengukuhkan minatnya untuk terus meneroka destinasi pendakian lain di Sarawak.

Namun, di sebalik pengalaman mendaki bukan sekadar soal menawan puncak atau menikmati pemandangan.

Sebaliknya, setiap perjalanan menuntut persediaan rapi, disiplin dan keupayaan membuat keputusan yang tepat, terutama apabila berdepan situasi tidak dijangka.

HARITH bersama papan tanda puncak Gunung Singai pada 4 Jun 2025.

Detik cemas di Gunung Serapi

Pengalaman tersesat di Gunung Serapi pada 8 Mei 2025 menjadi antara peristiwa yang paling sukar dilupakan Harith.

Ketika mengikuti aktiviti pendakian bersama sekumpulan rakan, dia mengambil keputusan untuk mempercepatkan langkah bagi mengejar beberapa peserta yang telah bergerak lebih awal.

Tindakannya berpisah daripada kumpulan asal tanpa memastikan kedudukan rakan-rakannya menyebabkan dia akhirnya bergerak bersendirian.

Setibanya di persimpangan menuju ke kawasan air terjun yang disangka menjadi tempat pertemuan, Harith mendapati tiada seorang pun rakannya berada di situ.

Menyangka mereka sudah meneruskan perjalanan, dia mengambil keputusan untuk mengikut laluan berkenaan tanpa menyedari risiko yang bakal dihadapi.

Semakin jauh melangkah, semakin kuat perasaan bimbang apabila belitan rakan-rakannya masih tidak kelihatan.

Keadaan hutan yang sunyi menambah keresahan sehingga dia mengambil keputusan untuk berlari dengan harapan dapat segera keluar daripada laluan tersebut.

Namun, tindakan itu menyebabkan tenaganya semakin berkurang, apatah lagi apabila terpaksa mengharungi laluan mencabar dan melintasi jambatan rosak akibat dihempap pokok.

Keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila dia akhirnya tiba di kawasan berparak kawat duri.

Pada ketika itu, Harith menyedari dia memasuki laluan yang ditutup atas faktor keselamatan.

Perasaan takut menyebabkan dia terus memaksa diri bergerak sehingga mengalami keletihan melampau, degupan jantung yang kencang dan kesukaran bernafas.

Walaupun pengalaman itu berlaku tanpa kecederaan serius, kejadian tersebut meninggalkan pengajaran besar tentang bahaya bertindak terburu-buru ketika berada di hutan.

Harith menyedari keputusan kecil, termasuk meninggalkan kumpulan tanpa perancangan, boleh membawa seseorang ke dalam situasi berisiko.

PEMANDANGAN dari puncak Gunung Serapi.

Keselamatan menjadi keutamaan

Sejak kejadian itu, Harith semakin menitikberatkan aspek keselamatan setiap kali merancang aktiviti mendaki.

Dia kini lebih berhati-hati dalam memilih laluan, menyediakan kelengkapan dan memastikan dirinya berada pada tahap kecergasan yang sesuai sebelum memulakan perjalanan.

Antara rutin yang diamalkannya termasuk berjoging dan berjalan pantas secara konsisten bagi meningkatkan stamina serta daya tahan fizikal.

Menurutnya, kecergasan memainkan peranan penting kerana laluan pendakian yang curam dan tidak rata boleh memberikan tekanan kepada otot serta anggota badan.

Selain persediaan fizikal, dia turut memastikan barangan penting seperti lampu suluh, bekalan air minuman dan kit pertolongan cemas sentiasa tersedia.

Bagi Harith, pengalaman di Gunung Serapi mengajarnya supaya tidak memandang ringan perkara asas yang sering dianggap remeh oleh sesetengah pendaki.

Dia juga lebih selesa melakukan pendakian secara berkumpulan, khususnya dengan sekurang-kurangnya tiga orang bagi memudahkan bantuan diperoleh sekiranya berlaku kecemasan.

Kehadiran rakan bukan sahaja menjadikan perjalanan lebih menyeronokkan, malah membolehkan setiap ahli saling memantau keadaan dan memberikan bantuan apabila diperlukan.

Bagaimanapun, bilangan pendaki sahaja tidak menjamin keselamatan tanpa perancangan laluan, komunikasi dan pematuhan arahan pihak pengurusan kawasan.

HARITH (depan) bersama-sama rakannya di puncak Tajur Rambung pada 8 Jun 2025.

Santubong jadi sasaran

Walaupun pernah melalui pengalaman mencemaskan, Harith tidak menjadikan kejadian itu alasan untuk meninggalkan minatnya terhadap aktiviti mendaki.

Sebaliknya, pengalaman tersebut menjadikannya lebih matang dan berhati-hati dalam merancang setiap perjalanan.

Kini, dia menyimpan hasrat untuk mendaki Gunung Santubong, antara mercu tanda alam semula jadi yang cukup dikenali di Sarawak.

Bagaimanapun, perancangan itu beberapa kali tertangguh berikutan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan serta penutupan laluan oleh pihak berkuasa.

Harith tidak mahu terburu-buru merealisasikan impian tersebut kerana memahami bahawa keselamatan perlu sentiasa mengatasi keinginan untuk menawan sesuatu puncak.

Baginya, peluang menuntut ilmu di Sarawak bukan sahaja memberikan pengalaman akademik, malah membuka ruang untuk mengenali diri sendiri melalui cabaran dan pengembaraan di alam semula jadi.

Daripada seorang anak muda yang gemar menghabiskan masa lapang di rumah, Harith kini menemukan minat yang membawanya mengenali keindahan hutan dan gunung di Bumi Kenyalang.

Lebih penting, pengalaman tersesat di Gunung Serapi telah mengajarnya bahawa keberanian seorang pendaki bukan sekadar diukur melalui kemampuan menakluki laluan sukar, tetapi juga kebijaksanaan membuat keputusan ketika berdepan bahaya.

Bagi Harith, puncak gunung mungkin menjadi destinasi yang ingin dituju, namun pulang dengan selamat tetap menjadi kejayaan paling bermakna dalam setiap pendakian.

PEMANDANGAN dari puncak Gunung Kuwai.
AWAN karpet yang memukau pandangan dari puncak Tajur Rambung.

BERITA LAIN

TVET LAHIR USAHAWAN BERDAYA SAING

Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mampu menjadi platform melahirkan tenaga kerja mahir bagi memenuhi keperluan industri, di samping membentuk usahawan yang berupaya membangunkan

KUCING bukan sekadar teman

MINGGU lalu, ketika sedang menyemak rencana yang dihantar oleh wartawan untuk diterbitkan, saya berbual santai dengan seorang rakan sepejabat. Saya memberitahunya, beberapa bulan lalu, dua

BERITA TERBARU

Penyokong The Cats tetap setia beri sokongan

KUCHING: Kesetiaan penyokong menjadi pembakar semangat Kuching City FC untuk bangkit daripada tiga kekalahan berturut-turut menjelang aksi penting menentang Gangwon FC dalam saingan Kumpulan H