ARTIKEL

TVET LAHIR USAHAWAN BERDAYA SAING

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mampu menjadi platform melahirkan tenaga kerja mahir bagi memenuhi keperluan industri, di samping membentuk usahawan yang berupaya membangunkan perniagaan sendiri serta menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat.

Ahli Majlis Amanah Rakyat (MARA), Ajar @ Siti Ajar Yasin berkata, kemahiran yang diperoleh menerusi latihan TVET boleh dikembangkan menjadi perusahaan berdaya saing sekiranya disertai ilmu keusahawanan, bimbingan serta akses kepada peluang perniagaan.

Menurutnya, kekuatan GIATMARA sebagai institusi yang menawarkan latihan dalam pelbagai bidang kemahiran membuka ruang kepada pelatih untuk meneroka potensi ekonomi, bukan sahaja dengan bekerja makan gaji, malah dengan mewujudkan peluang pekerjaan melalui perniagaan sendiri.

“Pelatih GIATMARA bukan sahaja mempunyai peluang untuk bekerja dengan majikan, tetapi juga berpotensi membina perniagaan sendiri, menyediakan perkhidmatan kepada komuniti dan akhirnya mewujudkan peluang pekerjaan kepada orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Program Sinergi AKRAB GIATMARA Negeri Sarawak 2026 di GIATMARA Petra Jaya, Sabtu lalu. Program berkenaan menghimpunkan 418 peserta, terdiri daripada 160 peserta yang hadir secara fizikal dan 258 pelatih dari Zon Tengah dan Zon Utara Sarawak yang mengikuti program secara dalam talian.

Ajar berkata, penyertaan secara dalam talian itu membuktikan komitmen GIATMARA Negeri Sarawak memperluas akses kepada program pembangunan keusahawanan, termasuk bagi pelatih yang berada jauh dari lokasi penganjuran.

Menurutnya, kejayaan beberapa alumni GIATMARA di Sarawak membangunkan perniagaan masing-masing membuktikan kemahiran teknikal mampu dimanfaatkan untuk menjana pendapatan yang lumayan.

Antara contoh yang diketengahkan ialah Faizul Nizan, alumni GIATMARA Mukah yang mengusahakan syarikat pembinaan Hamizan Arif Group Sdn. Bhd. yang berjaya menyediakan peluang pekerjaan kepada 30 pekerja tempatan.

Syarikat berkenaan turut mencatatkan pendapatan tahunan sebanyak RM16.6 juta pada 2025, sekali gus memperlihatkan potensi graduan TVET untuk berkembang sebagai pemain industri dalam sektor pembinaan.

Kejayaan serupa turut dicapai oleh Sulaiman, alumni GIATMARA Bandar Kuching yang mengusahakan bengkel dan pusat servis kenderaan Bro Auto.

Bermula dengan modal hanya RM10,000, perniagaan itu kini berkembang sehingga mempunyai 11 pekerja dan mencatatkan pendapatan sebanyak RM1.8 juta pada 2025.

Sementara itu, Ismail Hanizam, alumni GIATMARA Stampin, membuktikan bidang penyediaan makanan dan perkhidmatan sajian juga mempunyai potensi besar untuk berkembang.

Beliau berjaya membangunkan perniagaan kafe dan restoran yang kini menggaji 14 pekerja, dengan nilai jualan melebihi RM600,000 pada tahun lalu.

Tidak ketinggalan, Normawati, pemilik Zueema Enterprise yang mengusahakan produk mi kolok segera, turut menjadi contoh kejayaan usahawan dalam kalangan alumni GIATMARA.

Selain memiliki kilang pengeluaran mi kolok, beliau turut mengusahakan restoran yang menawarkan makanan tradisional Sarawak itu, malah berjaya menembusi pasaran antarabangsa, termasuk China dan Arab Saudi.

Menurut Ajar, kisah kejayaan keempat-empat usahawan berkenaan turut diabadikan dalam naskhah Permata Biru GIATMARA yang menghimpunkan pencapaian alumni institusi itu dalam membangunkan perniagaan sehingga mencapai nilai jutaan ringgit.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada usahawan terbabit kerana sudi berkongsi pengalaman, cabaran dan perjalanan mereka membangunkan perniagaan menerusi segmen perkongsian bersama alumni GIATMARA.

Katanya, perkongsian sedemikian penting untuk memberikan inspirasi kepada usahawan baharu, selain membuka ruang kepada graduan untuk mendapatkan panduan daripada individu yang lebih berpengalaman.

“Harapan saya agar anda terus memainkan peranan sebagai mentor, rakan strategik dan sumber inspirasi kepada graduan baharu GIATMARA.

Inilah semangat AKRAB GIATMARA yang wajar kita suburkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kejayaan membangunkan perniagaan bukan sahaja bergantung pada kemahiran teknikal dan modal permulaan, tetapi juga memerlukan akses kepada maklumat, bimbingan, pensijilan, pasaran serta jaringan perniagaan yang kukuh.

Sehubungan itu, pelibatan pelbagai agensi, termasuk Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), MARA, Rural Capital Berhad, Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), SME Corporation Malaysia Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC), penting dalam membantu usahawan mengembangkan perniagaan.

Kerjasama antara institusi latihan dengan agensi kerajaan dan pemain industri juga mampu memudahkan usahawan mendapatkan khidmat sokongan yang diperlukan, sekali gus meningkatkan daya saing perusahaan mereka. Dalam majlis itu,

Ajar turut merakamkan penghargaan kepada pengurusan GIATMARA, agensi rakan kerjasama, rakan industri, usahawan dan semua pihak yang menjayakan Program Sinergi AKRAB GIATMARA Negeri Sarawak 2026.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada penerima bantuan menerusi Program Start Right serta semua peserta yang mengambil bahagian, sambil berharap agar program berkenaan menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejayaan usahawan GIATMARA pada masa hadapan.

BERITA LAIN

SISAGC pacu pelancongan sukan Sarawak

Kejohanan Golf Amatur Senior Antarabangsa Sarawak (SISAGC) bakal diteruskan pada 2027 selepas edisi sulungnya tahun ini berjaya menghimpunkan 156 pemain dari enam negara, sekali gus

BERITA TERBARU