PEMBINAAN Balai Polis Beladin sebenarnya menimbulkan banyak reaksi dalam kalangan masyarakat tempatan terutama di Daerah Pusa.
Pusa dinaik taraf menjadi daerah penuh lebih 10 tahun, namun Balai Polis Pusa masih menumpang di bangunan Pejabat Daerah Pusa. Maka muncul persoalan tentang Balai Polis Beladin yang hari ini serba moden dan lengkap.
Dibina dengan kos RM21,179,330, ia mempunyai fasiliti lengkap dan selesa.
Ada ruang pejabat pentadbiran, padang kawad, stor barang kes, surau, gelanggang sukan, parkir serta 18 unit kuarters Kelas G dan satu unit kuarters Kelas E.
Dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman, Komisioner Polis Gilberd Philip Layang, Khamis lalu, ia antara balai polis baharu ketiga di bawah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong yang dirasmikan selepas Debak dan Spaoh.
Jadi, makin hangat persoalan di manakah Balai Polis Pusa baharu, sedangkan Pusa merupakan pusat pentadbiran daerah yang dahulu terkenal sebagai ibu negeri Saribas.
Memang ada betulnya.
Saya sendiri sebagai anak jati Pusa terasa “cemburu”.
Bagaimanapun saya percaya itu perancangan pemimpin terdahulu.
Mungkin ada sebab mengapa Balai Polis Beladin dibina dahulu.
Dan saya yakin kedua-dua wakil rakyat hari ini tidak berdiam sahaja.
Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shafizan Kepli, anak kelahiran Pusa pasti tidak akan berhenti berjuang untuk memastikan tanah airnya memiliki sesuatu yang lebih besar.
Mungkin dalam fikiran beliau bukan sekadar balai polis baharu, ironinya sebuah IPD baharu sesuai dengan status Pusa sebagai daerah penuh.
Tempoh hari, Gilberd turut menyentuh keperluan untuk Balai Polis Pusa dibina baharu.
Saya harap pucuk kepimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) peka akan hal ini.
Sangat tidak logik, balai polis di satu daerah di Sarawak kini masih menumpang.
Kalau tidak silap saya, dahulu sudah ada tanah yang dikhaskan untuk tujuan itu.
Walaupun daripada 21 projek pembangunan prasarana PDRM yang sedang dilaksanakan tidak tersenarai IPD Pusa atau Balai Polis Pusa, insya-Allah saya percaya wakil rakyat muda seperti Mohamad Shafizan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Beting Maro Datuk Razaili Gapor akan bertindak.
Saya ingin menegaskan, Daerah Pusa walaupun tidak sebesar pusat bandar utama, mencatat pertumbuhan penduduk dan aktiviti komuniti yang signifikan serta keperluan asas keselamatan yang tidak boleh dipandang rendah.
Meliputi kawasan seluas lebih 947 kilometer persegi, taburan kampung dan penempatan luar bandarnya luas. Kepadatan penduduk yang rendah menunjukkan kawasan yang jarang, sekali gus menyukarkan capaian segera pasukan keselamatan apabila berlaku kecemasan.
Di samping lokasinya juga terletak kira-kira 70 kilometer dari Betong, pusat pentadbiran terdekat, dan lebih 300 kilometer dari Kuching, menunjukkan jarak yang bukan sahaja memakan masa.
Keselamatan awam
Oleh yang demikian, bagi memastikan keselamatan awam sentiasa terpelihara dan pembangunan daerah berjalan secara seimbang, kewujudan sesebuah IPD memainkan peranan amat penting.
Bagi Daerah Pusa, keperluan terhadap sebuah IPD bukan lagi sekadar cadangan, sebaliknya satu keperluan strategik yang wajar diberi perhatian serius.
Secara geografinya, Pusa ialah sebuah daerah yang meliputi kawasan luas dengan taburan penempatan penduduk yang berselerak, termasuk kampungkampung tradisional dan kawasan luar bandar.
Keadaan ini menjadikan akses kepada perkhidmatan keselamatan lebih mencabar apabila ia bergantung kepada IPD di daerah lain.
Dalam situasi kecemasan, masa adalah faktor kritikal.
Begitu juga jarak yang jauh boleh menjejaskan kecekapan tindak balas pasukan keselamatan.
Selain itu, pertumbuhan aktiviti sosioekonomi di Pusa turut meningkatkan keperluan terhadap kehadiran polis yang lebih tersusun.
Aktiviti pertanian, perikanan, perniagaan kecil serta pergerakan masyarakat yang semakin aktif menuntut sistem penguatkuasaan undang-undang yang lebih responsif.
Maka, jika wujudnya IPD sendiri membolehkan pemantauan keselamatan dilakukan secara berterusan dan menyeluruh. Orang kata berjaga-jaga sebelum terantuk.
Dari sudut pentadbiran pula, ketiadaan IPD menyebabkan banyak urusan polis terpaksa dirujuk ke daerah lain, iaitu Betong.
Hal ini bukan sahaja membebankan balai dan IPD sedia ada, malah menyukarkan penduduk yang perlu menempuh perjalanan jauh untuk membuat laporan, mendapatkan khidmat nasihat atau menguruskan urusan berkaitan keselamatan.
Secara ringkasnya, penubuhan IPD akan memudahkan akses rakyat kepada perkhidmatan asas kepolisan.
Kawasan luar bandar seperti Pusa juga memerlukan pendekatan kepolisan komuniti yang lebih berkesan.
Dengan IPD di daerah sendiri, hubungan antara polis dengan masyarakat dapat diperkukuh melalui program pencegahan jenayah, rondaan komuniti serta kerjasama berterusan dengan ketua-ketua masyarakat.
Bina kepercayaan
Keakraban ini penting untuk membina kepercayaan dan memastikan isu keselamatan ditangani dari peringkat awal.
Dalam konteks kecemasan dan bencana pula, IPD berperanan sebagai pusat penyelarasan utama.
Sama ada menghadapi bencana alam seperti banjir, kemalangan jalan raya atau insiden keselamatan awam, kewujudan IPD di Pusa akan mempercepat penyelarasan antara polis, agensi penyelamat dengan pihak berkuasa tempatan.
Lebih daripada itu, faktor keselamatan sering menjadi penentu kepada keyakinan pelabur dan kelancaran pembangunan.
Daerah yang mempunyai struktur keselamatan lengkap akan lebih diyakini sebagai kawasan yang stabil dan terurus.
Justeru, penubuhan IPD di Pusa turut menyokong agenda pembangunan ekonomi serta usaha meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat.
Akhirnya, sebagai sebuah daerah yang diiktiraf, Pusa berhak menikmati kemudahan keselamatan setara dengan daerah lain.
Penubuhan IPD bukan sahaja mencerminkan keadilan pembangunan, malah membuktikan komitmen kerajaan memastikan tiada kawasan luar bandar yang terpinggir daripada sistem keselamatan negara.
Bukan semata-mata cemburu dengan daerah lain, tetapi ini satu keperluan mendesak yang memberi manfaat jangka panjang.
Bukan sahaja menambah bangunan atau struktur pentadbiran, tetapi satu pelaburan terhadap keselamatan, kepercayaan rakyat dan masa depan pembangunan daerah.
Jauh di sudut hati, kami sebenarnya sangat mengharapkan sebuah IPD dapat dibina di Pusa.



