
BINTULU: Demi keselamatan pengguna jalan raya terutama pada waktu malam, lebih banyak papan tanda jalan dan lampu jalan perlu dipasang di sepanjang laluan Lebuh Raya Pan Borneo ke Tatau dan persimpangan Lapangan Terbang Bintulu yang kini 87 peratus siap.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjong Batu Johnny Pang ketika membuat gesaan itu juga berharap kontraktor terlibat menutup sebahagian jalan yang tidak lengkap bagi mengelakkan kekeliruan kepada pengguna jalan raya.
“Apabila lorong yang belum siap dibuka bersama yang telah siap dibina, keadaan ini akan menimbulkan kekeliruan kepada pengguna jalan raya,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, Pang diberi taklimat oleh perunding projek dan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenai jalan susur dari Bintulu ke Tatau dan Lapangan Terbang Bintulu.
Mengenai pembinaan simpang ke Lapangan Terbang Bintulu, beliau berkata, kontraktor terlibat berjanji akan menyiapkannya pada 15 Disember tahun ini.
“Kami berharap dapat menggunakan sepenuhnya laluan ini bermula awal tahun depan dan menggunakan lebuh raya ini ke Tatau sehingga ke Sibu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya memandu dengan berhati-hati melalui persimpangan dan laluan lebuh raya yang telah dinaik taraf terutama pada waktu malam.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kontraktor terbabit yang bertungkus lumus siang dan malam menyiapkan projek jalan raya ini dengan cepat.
“Saya juga berterima kasih kepada Jabatan Kerja Raya kerana menyelia projek jalan ini selama beberapa tahun dan berharap kita dapat menikmati kualiti lebuh raya yang sama seperti di Semenanjung Malaysia,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menasihati pengguna jalan raya supaya berhati-hati memandu melalui persimpangan dan laluan lebuh raya yang dinaik taraf terutama pada waktu malam.
Ketua Unit Lebuh Raya Pan Borneo JKR Sarawak Awang Mohammad Fadillah Awang Redzuan dan pengurus JKR Zon Utara, Siaw Ming Chian hadir sama.