KUCHING: Jejambat di Jalan Saratok perlu dibina bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas pada musim perayaan, kata ADUN Krian Friday Belik.
Beliau berkata, ini kerana apabila projek Lebuh Raya Pan Borneo disiapkan kelak, sudah pasti jumlah kenderaan yang menggunakan jalan raya akan bertambah sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.
“Disebabkan itu kita amat memerlukan jejambat dibina di Simpang Saratok bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas yang berlaku hampir setiap hari lebih-lebih lagi pada musim perayaan,” katanya sambil memohon agar kerajaan turut membina jalan dua hala dari simpang Saratok ke bandar Saratok.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan usul penghargaan atas ucapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, hari ini.
Malah katanya, isu kesesakan lalu lintas ini bukan sahaja menyukarkan pengguna lebuh raya namun juga boleh mengancam keselamatan mereka.






