SARATOK: Ahli Dewan Undangan Negeri Kalaka Mohamad Duri menggesa Kerajaan Persekutuan membina sebuah Klinik Kesihatan Jenis Lima (KK5) baharu di Saratok bagi menyokong perkhidmatan Hospital Saratok yang semakin sesak.
Menurutnya, selain itu memohon agar menaik taraf hospital yang dibina pada 1978 dari semua segi iaitu infrastruktur dan fasiliti.
“Status sekarang jumlah pesakit luar di Hospital Saratok menjangkau 250 sehari.
Maknanya semakin hari semakin padat.
“Sehubungan itu, kita ingin memohon agar KK5 dapat diwujudkan di Saratok bagi menyokong perkhidmatan di hospital.
“Insya-Allah saya akan mengajukan perkara tersebut kepada pihak yang berwajib,” katanya ketika ditanya selepas mengadakan kunjungan rasmi ke Hospital Saratok, semalam.
Jelasnya, KK5 yang diharapkan lengkap dengan klinik pergigian. Mohamad dalam pada itu memohon pembinaan sebuah bangunan hemodialisis baharu untuk pesakit buah pinggang yang lengkap dengan fasiliti diperlukan.
Mohamad semasa kunjungan diberikan penerangan daripada Ketua Unit Hemodialisis Hospital Saratok Sebastian Duri Benidict.
Katanya, tujuan lawatan bagi meninjau sendiri keadaan operasi di Unit Haemodialisis yang terkini selain mengenal pasti permasalahan di Hospital Saratok
. “Saya berpuas hati dengan penerangan oleh pihak hospital mengenai keadaan terkini.
“Komitmen saya berusaha membantu pihak Hospital Saratok bagi melancarkan lagi proses operasi di situ,” tambahnya.
Pegawai Kesihatan Bahagian Betong Dr Mohamad Norhaizam Ahmad @ Narawi dan wakil Pengarah Hospital Saratok Dr Muhd Zulhusni Muhd Damanhuri turut hadir.



