Bina masjid, Skim Pembesaran Kampung bukti Kerajaan Sarawak prihatin

SPAOH: Projek pembinaan masjid baharu dan Skim Pembesaran Kampung (SPK) antara nikmat pembangunan yang bakal dikecapi penduduk di Kampung Serembang dekat ini, atas keprihatinan Kerajaan Sarawak.

Adun Saribas Mohammad Razi Sitam memberitahu, pembangunan sesebuah kawasan memerlukan perancangan yang teliti dengan mengambil kira pelbagai aspek.

“Alhamdulillah saya memuji tindakan proaktif JKKK yang dipimpin Ketua Kampung Serembang Kawi Dollah dalam merancang, seterusnya mengajukan permohonan untuk perhatian kerajaan.

“Walaupun terpaksa menunggu sedikit masa untuk diluluskan, perlu turun naik pejabat… tetapi berbaloi apabila Kerajaan GPS memberi perhatian terhadap apa yang dipohon,” katanya.

Beliau bercakap demikian pada program Rami Rayo dan Ramah-Tamah Aidilfitri Peringkat Kampung Serembang dekat sini, baru-baru ini.

MERIAH … Razi serta tetamu bergambar kenangan bersama warga Kampung Serembang pada program Rami Rayo dan Ramah-Tamah Aidilfitri dekat sini, baru-baru ini.

Menurutnya, setiap permohonan projek pembangunan memerlukan prosedur tertentu yang harus difahami oleh setiap anggota masyarakat khususnya pemimpin akar umbi.

“Kalau projek jutaan ringgit seperti masjid baharu Kampung Serembang yang bernilai RM1.5 juta, agak sukarlah, hari ini mohon, esok lulus… maksudnya memerlukan masa untuk prosedur tertentu.

“Dalam hal ini, rakyat harus faham dan jangan mudah melenting sekiranya kelulusan sedikit lewat diberikan.

“Justeru, dalam bulan yang mulia ini kita harus memanjatkan rasa syukur apabila penduduk di sini bakal mendapat masjid baharu yang dijangka akan bermula pembinaannya pada hujung tahun ini selepas proses reka bentuk oleh JKR, siap.

“Begitu juga SPK Kampung Serembang berkeluasan 45.6 ekar yang juga sudah diluluskan Kerajaan Sarawak dengan kos RM3.4 juta bakal menyediakan sebanyak 178 lot untuk penduduk di sini. Kerja-kerja untuk fasa pertama sudah bermula dengan pembinaan 20 lot terlebih dahulu,” ujarnya.

ORANG KUAT … Razi bergambar bersama individu yang menjadi tulang belakang kejayaan penganjuran program.

Razi mengharapkan projek-projek tersebut berjalan lancar seperti dirancang.

Beliau dalam pada itu memanfaatkan sepenuhnya masa untuk bermesra dengan penduduk kampung.

Sementara itu bagi Kawi, Kerajaan Sarawak pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg merupakan pemerintah yang prihatin dengan kehendak rakyat.

“Begitu juga Razi yang komited untuk membangunkan kawasan Saribas dan insha-Allah penduduk kampung ini akan terus memberi sokongan padu kepada beliau… terima kasih Abang Jo, terima kasih Razi,” jelasnya.

Beliau dalam pada itu mengakui penganjuran aktiviti seumpama ini dapat mempererat hubungan antara rakyat yang sekaligus dapat mewujudkan perpaduan.

Beliau mengharapkan aktiviti ini juga supaya diteruskan pada masa akan datang dengan penglibatan seluruh warga kampung.

Program Rami Rayo Kampung Serembang diisi dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya pertandingan badminton dan futsal, bertuntong, karaoke, cabutan nama bertuah serta jamuan raya.

Hadir sama Pegawai Daerah Betong Sofhi Jebal, Ketua Ranting PBB Kampung Serembang Morsidi Alek dan pengerusi pengelola program Hamden Katang.

 

TAHNIAH … Razi menyampaikan hadiah kepada beberapa pemenang program Rami Rayo.