KOTA KINABALU: Generasi muda diseru untuk membina semula zaman kegemilangan intelektual umat Islam dengan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital, berteraskan nilai serta prinsip Muslim.
Menurut Presiden Majlis Dakwah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP), Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, sejarah membuktikan kehebatan intelektual umat Islam dalam bidang sains dan ilmu pengetahuan, yang mencapai kemuncak ketika zaman Rasulullah SAW dan para khalifah.
“Tradisi ini mesti disemai semula dalam generasi masa kini kerana dalam era AI, kita harus membina kembali kekuatan intelektual umat Islam dan berlumba pada kapasiti ilmu.
“Semoga idea murni ini mampu melahirkan barisan pemimpin yang akan memandu hala tuju belia Islam. Masa depan kita akan ditentukan oleh pemimpin muda yang inovatif pada hari ini,” katanya.
Premier Sarawak itu berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Kepimpinan Belia Antarabangsa RISEAP yang dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.
Mengulas lanjut ujarnya, RISEAP dan organisasi ahlinya mesti bersedia melakukan transformasi identiti dan pendekatan dakwah dalam menghadapi realiti dunia digital yang pantas berubah.
“Kita mesti bersedia dengan teknologi baharu untuk pemodenan, dakwah digital dan kesiapsiagaan kerana dalam dunia yang dibentuk oleh AI, komunikasi digital dan automasi, umat Islam tidak boleh ketinggalan,” tegasnya.
Beliau berkata, RISEAP turut membayangkan masa depan dengan nilai tradisional Islam terus diperkukuh melalui teknologi pintar, dengan para dai diperkasa secara digital dan identiti Islam kekal teguh dalam arus globalisasi.
Ujarnya, program yang disertai seramai 22 peserta dari negara anggota RISEAP itu bertujuan membekalkan kemahiran, ilmu dan kekuatan rohani untuk mereka melaksanakan misi dakwah dengan lebih berkesan, sama ada dalam komuniti masing-masing, di peringkat negara mahupun dunia digital.





