KUCHING: Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Alam Sekitar di bawah Suruhanjaya Kesatuan Eropah (EU), Florika Fink-Hooijer pada 28 Jun ini, bagi membincangkan isu pelaksanaan Peraturan Penebangan Hutan EU (EUDR).
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, Fink-Hooijer merupakan individu yang bertanggungjawab meneliti dan merangka penyediaan EUDR secara keseluruhan.
“Dalam pertemuan itu nanti, saya akan menegaskan lagi pendirian-pendirian yang Malaysia bawa semasa di Brussels, Belgium.
“Selain menjelaskan pandangan Malaysia secara khusus terhadap pelaksanaan EUDR,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin yang bertanya mengenai hasil lawatan kerja ke Eropah dalam menangani isu diskriminasi minyak sawit serta bantuan segera penoreh dalam menangani musim panas pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau turut menyifatkan Misi Bersama Malaysia dan Indonesia ke EU sebagai berjaya dalam menyampaikan kebimbangan negara pengeluar sawit berhubung pelaksanaan EUDR secara kolektif melalui Majlis Negara- Negara Pengeluar Minyak Sawit(CPOPC).
“Respons positif yang diterima daripada misi ini diharap dapat meleraikan kebimbangan Malaysia dan Indonesia terhadap pelaksanaan EUDR yang dikhuatiri menjejaskan sektor sawit kedua-dua negara,” ujarnya.
Tambah Fadillah lagi, pihaknya akan terus mengadakan sesi libat urus bersama pihak-pihak yang berkenaan melalui pelbagai platform yang bersesuaian supaya mesej konsisten dapat disampaikan kepada EU demi mempertahankan industri komoditi negara.
Mengenai bantuan segera penoreh dalam menangani musim panas dan penyakit daun yang menjejaskan hasil susu getah pula, beliau memaklumkan buat masa ini, kementeriannya tidak melaksanakan bantuan segera kepada pekebun kecil bagi menangani musim panas.
Bagaimanapun, katanya, mengambil kira kebajikan pekebun kecil dan penoreh getah, bantuan segera secara bulanan seperti Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dan Insentif Pengeluaran Lateks (IPL) diteruskan.



