ARTIKEL

GAMBAR pelakon India dan Presiden Parti Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK), C. Joseph Vijay semasa pengiraan undi bagi pilihan raya Dewan Undangan Negeri Tamil Nadu di ibu pejabat parti di Chennai pada 4 Mei 2026. | AFP

Bintang filem menang pilihan raya

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

HYDERABAD: Pilihan raya Dewan Undangan Negeri di India mencatat keputusan mengejut di Tamil Nadu dan Benggala Barat, sekali gus menggemparkan landskap politik negara itu.

Keputusan paling tidak dijangka datang dari Tamil Nadu apabila C. Joseph Vijay, 51 tahun, yang tidak dianggap sebagai pencabar politik utama tetapi popular sebagai ikon filem, memimpin parti baharunya Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) meraih kemenangan dengan menewaskan parti pemerintah, Dravida Munnetra Kazhagam (DMK).

Lebih dikenali sebagai Vijay atau Thalapathy (bermaksud pemimpin), beliau sebelum ini tidak dilihat sebagai ancaman politik kepada DMK mahupun All India Anna Dravida Munnetra Kazhagam (AIADMK), dua parti yang telah memerintah Tamil Nadu selama lebih enam dekad.

TVK memperoleh 108 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri yang mempunyai 234 kerusi, diikuti DMK dengan 59 kerusi dan AIADMK sebanyak 47 kerusi, manakala selebihnya dimenangi parti lain, menurut laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya pada pagi Selasa.

Vijay dijangka memimpin negeri itu sebagai ketua menteri, walaupun parti yang ditubuhkan pada 2024 itu gagal memperoleh 118 kerusi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan majoriti secara sendiri.

Presiden DMK yang juga ketua menteri akan berundur, M.K. Stalin, tewas di kerusi Kolathur yang dimenanginya tiga kali sejak 2011 kepada calon TVK, V.S. Babu dengan majoriti 8,795 undi.

Dalam reaksinya selepas keputusan diumumkan, Stalin berkata beliau telah melalui pengalaman menang dan kalah dalam kehidupan awamnya, namun perjalanan politik DMK akan diteruskan dan parti itu akan memainkan peranan sebagai pembangkang yang baik.

Penyandang Timbalan Ketua Menteri, Udhayanidhi Stalin, pula menang di kawasan pilihan raya ChepaukThiruvallikeni.

Tamil Nadu sememangnya tidak asing dalam melahirkan tokoh politik besar daripada kalangan bintang filem.

AIADMK diasaskan oleh pelakon terkenal yang beralih ke bidang politik, M.G. Ramachandran atau lebih dikenali sebagai MGR, selepas berpisah daripada DMK pada 1972.

Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai ketua menteri negeri itu. J. Jayalalithaa, yang digelar “Puratchi Thalaivi” (pemimpin revolusi) dan dikenali sebagai Amma, mengambil alih parti itu selepas kematian MGR pada 1987 dan mendominasi politik Tamil Nadu selama tiga dekad, termasuk berkhidmat sebagai ketua menteri sebanyak enam kali.

AIADMK semakin lemah sejak kematian Jayalalithaa pada 2016 ketika berusia 68 tahun.

Kini, Vijay dipuji sebagai ikon politik baharu di negeri itu yang mempunyai lebih 80 juta penduduk dengan identiti wilayah dan bahasa yang kuat.

Pilihan raya Dewan Undangan Negeri turut diadakan di Assam, Benggala Barat, Kerala, Tamil Nadu dan Wilayah Pentadbiran Persekutuan Puducherry bulan lalu, dengan pengiraan undi dilakukan pada Isnin.

Di Benggala Barat, Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi mencatat kemenangan besar dengan menewaskan Parti Trinamool Congress (TMC) pimpinan ketua menteri tiga penggal, Mamata Banerjee.

Kemenangan di negeri yang bersempadan dengan Bangladesh itu akan membantu parti nasionalis Hindu tersebut memperkukuh imejnya sebagai parti yang mempunyai daya tarikan nasional yang lebih luas, bukan sekadar berpengaruh di kawasan berbahasa Hindi dan negeri di bahagian barat seperti Gujarat dan Maharashtra.

BJP mengerahkan sepenuh usaha untuk merampas Benggala Barat daripada TMC, dan kemenangan itu diraikan penyokongnya di seluruh negeri Benggala Barat, negeri keempat paling ramai penduduk di India dengan lebih 100 juta orang, menyaksikan kempen pilihan raya yang sengit.

Banerjee, pengkritik tegar dasar BJP, tewas di kerusi Bhabanipur kepada pemimpin BJP, Suvendu Adhikari dengan kira-kira 15,000 undi.

Menteri Dalam Negeri India, Amit Shah, yang berkempen di negeri itu bagi pihak BJP, turut memberi reaksi terhadap kekalahan Banerjee di media sosial.

“Saya tabik hormat kepada penduduk Bhabanipur. Mandat mereka jelas menunjukkan nasib yang menanti seorang pemerintah yang bersifat anarki,” katanya di platform X.

Suruhanjaya Pilihan Raya menyifatkan pilihan raya itu sebagai adil, dengan mempertahankan semakan daftar pemilih bagi mengambil kira pengundi yang tidak hadir atau telah meninggal dunia, selain memuji peratusan keluar mengundi yang tinggi di Benggala Barat.

BJP memenangi 206 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Benggala Barat yang mempunyai 294 kerusi, manakala TMC memperoleh 81 kerusi dan Parti Kongres hanya dua kerusi.

Peratusan undi BJP ialah 45.8 peratus berbanding 40.8 peratus bagi TMC.

Sementara itu, Narendra Modi bersama pemimpin tertinggi parti meraikan kemenangan pilihan raya di ibu pejabat parti di New Delhi.

Beliau memberitahu penyokong bahawa “satu lembaran baharu telah bermula dalam sejarah Benggala Barat.”

Modi turut memuji kemenangan parti itu di Assam, dengan BJP akan membentuk kerajaan bagi penggal ketiga berturut-turut selama lima tahun.

Jumlah kerusi BJP di Assam ialah 82, diikuti Kongres dengan 19 kerusi, serta masing-masing 10 kerusi bagi Bodoland Peoples Front dan Asom Gana Parishad.

Di Puducherry, BJP memenangi empat kerusi manakala sekutunya, Parti All India N.R. Congress, memperoleh 12 kerusi bagi membentuk majoriti bersama dalam dewan perundangan yang mempunyai 30 kerusi itu.

Di negeri selatan Kerala, Parti Kongres Nasional India muncul sebagai parti terbesar dengan 63 kerusi, manakala rakan sekutunya, Liga Persatuan Muslim India (IUML), memenangi 22 kerusi, sekali gus membentuk majoriti selesa dalam dewan undangan negeri yang mempunyai 140 kerusi.

Barisan Demokratik Bersatu (UDF) pimpinan Kongres kembali berkuasa selepas pemerintahan selama sedekad oleh Barisan Demokratik Kiri (LDF) pimpinan Parti Komunis India (Marxis) di negeri yang mempunyai lebih 35 juta penduduk itu. — Bernama

BERITA LAIN

Empat maut padam kebakaran hutan Bromo

JAKARTA: Empat orang maut manakala dua lagi melecur teruk selepas terperangkap dalam asap tebal dan api yang merebak dengan pantas ketika berusaha memadamkan kebakaran hutan

Rakyat protes dasar berat sebelah

BANGKOK: Ratusan penunjuk perasaan berhimpun berhampiran Pusat Konvensyen Nasional Queen Sirikit (QSNCC) pada Khamis bagi membantah dasar Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia yang

BERITA TERBARU