Bintang Ghana taruhan S’wak United FC II

SKUAD Sarawak United FC II akan menggunakan ‘sentuhan’ dari Ghana untuk memburu juara Liga M3 2020.
Mereka bukan sahaja bakal menambat dua bintang import dari Ghana, tetapi turut mengikat jurulatih dari Ghana.

“Kami akan uji dua pemain import asing dari Ghana di Semenanjung Malaysia nanti… mereka beraksi di posisi tengah dan penyerang,” kata Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais.

“Salah seorang daripadanya baru berusia 20 tahun dan merupakan pemain kebangsaan Ghana,” ujarnya.
Mengenai jurulatih pula, Posa menjelaskan: “Persetujuan sudah pun dicapai dengan jurulatih dari Ghana… cuma kita belum pasti bila dia akan datang.

Menurutnya, Sarawak United FC II akan tampil sebagai sebuah pasukan serba mantap, untuk memberikan saingan hebat dalam Liga M3.

“Kami serius bersaing dalam Liga M3, kami mahu menebus kesilapan lalu.

“Kami membuat persiapan rapi untuk pasukan ini, melalui pemilihan yang begitu ketat,” ujar Posa.

Skuad SUFC II akan berpangkalan di Selangor, sebagai gelanggang utama untuk menjimatkan kos.

Namun, jika menunjukkan prestasi dan pencapaian yang cemerlang, maka kemungkinan mereka akan kembali ke Kuching sebagai gelanggang utama.

Ahad lalu pihak pengurusan SUFC II mengadakan sesi pemlihan terbuka di Stadium Negeri yang dihadiri 155 pemain dari seluruh Sarawak, termasuk dari Melaka dan Sabah.

Yang pasti, kehadiran jurulatih dan pemain dari Ghana mampu membantu melonjakkan SUFC II di persada Liga M3.

Ghana merupakan negara dari benua Afrika yang pernah tiga kali menyertai Piala Dunia, malah mara ke suku akhir dalam Piala Dunia 2010. Mereka kini berada di ranking ke-47 dunia.

Ghana juga pernah menjuarai Piala Dunia Bawah 20 Tahun pada 2009 setelah mengalahkan Brazil 4-3 melalui sepakan penalti. Mereka juga pernah dua kali muncul sebagai naib juara Piala Negara Afrika 2009, 2015
Bintang ternama Ghana ialah Asamoah Gyan, Andrew Ayew, Keadwo Asamoah dan Jordan Ayew.

Suara Sarawak