BINTULU: Bintulu bakal menerima pelaburan bernilai USD3 bilion dalam pembangunan loji amonia.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembukaan loji tersebut yang terletak bersebelahan kilang metanol bakal menyediakan peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada penduduk tempatan.
“Mereka memerlukan beberapa ratus jurutera serta kepakaran pengurusan untuk menjalankan loji ammonia ini.
“Selain itu, bandar tenaga itu juga bakal menerima pelaburan bernilai USD1.5 bilion bagi pembinaan loji grafit.
“Grafit sebagai bahan mentah penting untuk bateri kenderaan hidrogen akan meningkat dengan ketara apabila tenaga automotif secara beransur-ansur beralih daripada minyak petrokimia kepada bahan api hidrogen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina SUPP Bintulu di Restoran Dinner World Bintulu, di sini, hari ini.
“Dengan latar belakang ini, Bintulu bersedia untuk menjadi pangkalan pengeluaran grafit pertama di Asia Tenggara.
“Selepas 43 tahun, Kerajaan Sarawak akan terus memberi manfaat kepada rakyat selepas mengambil semula kawalan Lembaga Pelabuhan Bintulu daripada Persekutuan pada Jun depan,” ujarnya.



