BINTULU: Bintulu Marathon 2026 mencipta sejarah apabila berjaya menarik seramai 10,472 peserta dari 23 negara, sekali gus menjadikan edisi kali ini antara acara larian terbesar di Borneo.

Kategori 21 kilometer (KM) muncul sebagai acara paling popular apabila mencatat penyertaan tertinggi dengan 4,325 pelari. Daripada jumlah keseluruhan peserta, kategori marathon penuh 42KM disertai 967 pelari termasuk peserta elit, profesional dan antarabangsa, manakala kategori 10KM menarik 2,327 peserta yang terdiri daripada golongan belia dan penggemar larian rekreasi.
Kategori 6KM Larian Santai (Fun Run) pula melibatkan 2,853 peserta dengan penekanan kepada penyertaan keluarga serta komuniti, sekali gus mencerminkan sambutan memberangsangkan masyarakat terhadap gaya hidup sihat dan aktiviti riadah.
Sementara itu, pelari dari Kenya sekali lagi membuktikan keunggulan mereka dalam acara larian jarak jauh apabila mengungguli beberapa kategori utama yang dipertandingkan.

Dalam kategori 42KM Terbuka Lelaki, Edwin Yebei Kiptoo dari Kenya muncul juara selepas menamatkan perlumbaan dengan catatan masa dua jam 32 minit 20 saat. Muhamad Haziq Hamzah menduduki tempat kedua dengan masa 2:32:51, manakala Syahrullah Safri berada di tempat ketiga menerusi catatan 2:40:35.
Bagi kategori 42KM Terbuka Wanita, Nur Fatin Syuhada Tamsi muncul juara selepas mencatat masa 3:47:54. Tempat kedua dan ketiga masing-masing menjadi milik EE Ling Lau (3:51:20) dan Khoirun Annisyak (3:56:59).
Dalam kategori 42KM Lelaki Veteran, Martin Onesmus Martin dari Kenya menjuarai saingan dengan masa 2:37:51, diikuti Selfi Ahar dari Brunei (2:48:29) dan Fabian Osmond Daimon (3:01:20).
Sementara itu, kategori 42KM Wanita Veteran menyaksikan penguasaan penuh peserta Malaysia apabila Lau Moi Chee muncul juara dengan masa 3:19:13, diikuti Tho Siaw Khim (3:31:21) dan Poo Lai Kuen (3:33:47).
Lau turut mengungguli kategori 42KM Wanita (Nasional) menerusi catatan 3:31:08, manakala Tho dan Poo masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga dengan masa 3:45:46 dan 3:46:19.
Dalam kategori 42KM Lelaki (Nasional), Muhamad Haziq Hamzah menamatkan perlumbaan di kedudukan pertama dengan masa 2:41:38.
Syahrullah Safri meraih tempat kedua menerusi catatan 2:50:43, manakala Hazarullah Safri melengkapkan podium dengan masa 2:52:04.
Bagi acara separuh maraton 21KM, pelari Kenya turut mendominasi kategori Wanita Veteran apabila Jackline Musyawa Nzivo muncul juara dengan catatan masa 1:22:35, diikuti Lim Set Hiang (1:30:50) dan Siet Fah Lim (1:30:18).
Dalam kategori 21KM Lelaki Veteran, Jamin Ekai Ngaukon dari Kenya muncul juara selepas mencatat masa satu jam 35 saat, manakala rakan senegaranya, Dennis Isika, menduduki tempat kedua dengan masa 1:07:42. Tempat ketiga menjadi milik Mohammad Sukri Alek Jefferi dari Brunei dengan masa 1:13:37.
Bagi kategori 21KM Terbuka Wanita (Nasional), Hui Khing Yu menjuarai perlumbaan dengan masa 1:24:22, diikuti Ee Hua Lee (1:28:46) dan Jia Xin Cheng (1:29:40).
Kategori 21KM Terbuka Lelaki (Nasional) pula menyaksikan persaingan sengit apabila Andy Yeo Jia Wei dan Mohd Azfar masing-masing mencatat masa 1:11:42 untuk menduduki dua tempat teratas, manakala Sunny Jong Shi berada di kedudukan ketiga dengan masa 1:12:38.
Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bintulu Port Holdings Berhad, Datuk Ruslan Abdul Ghani serta Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Datuk Muhamad Yakup Kari.
Kejayaan penganjuran Bintulu Marathon 2026 bukan sahaja menyerlahkan kemampuan Bintulu menganjurkan acara sukan bertaraf antarabangsa, malah mengukuhkan kedudukannya sebagai antara destinasi utama pelancongan sukan di Malaysia Timur.
Dengan penyertaan melebihi 10,000 pelari dari pelbagai negara, acara ini turut menjadi platform penting dalam mempromosikan Bintulu di persada antarabangsa serta memperkukuh reputasinya sebagai hab sukan dan pelancongan yang semakin berkembang di rantau Borneo.






