BINTULU: Sokongan berterusan untuk sektor pendidikan merupakan pelaburan jangka panjang Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) dalam melahirkan generasi muda berilmu, berkemahiran dan berdaya saing yang mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat, negeri dan negara.
Pengurus Besar Perhubungan Pihak Berkepentingan Kumpulan BPHB, Maslihah Tioh berkata, komitmen itu dizahirkan menerusi pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), termasuk kerjasama strategik dengan SMK Baru Bintulu yang merupakan sekolah angkat syarikat berkenaan.

“Pada pandangan Bintulu Port, sokongan pembangunan pendidikan bukan sekadar satu tanggungjawab sosial korporat.
“Sebaliknya merupakan pelaburan jangka panjang dalam melahirkan modal insan berkualiti yang berupaya menyumbang kepada kemajuan masyarakat, negeri dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif BPHB, Anuar Ismail, pada Majlis Apresiasi Bintulu Port Murid Cemerlang SeBARU 2026 di NAIM Street Mall, Paragon Bintulu pada Khamis.
Menurutnya, penganjuran majlis berkenaan yang memasuki tahun keempat merupakan manifestasi komitmen berterusan Bintulu Port dalam menyokong kecemerlangan pendidikan menerusi pengiktirafan kepada pelajar yang menunjukkan pencapaian membanggakan dalam bidang akademik, kokurikulum dan kepimpinan.


