KUCHING: Satu mesyuarat khas diadakan hari ini bagi membincangkan persiapan untuk aksi final Piala Premier Sarawak 2026 melibatkan pasukan Kuching dan Samarahan yang dijadual berlangsung di Stadium Taha Ariffin, Petra Jaya pada 29 November ini.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Sophie Shariee merangkap Pengerusi Ahli Jawatankuasa Pertandingan Piala Premier Sarawak 2026.
Turut dihadiri exco Persatuan Bola Sepak Bahagian Kuching (KDFA) dan Persatuan Bola Sepak Bahagian Samarahan (PBBS).
Mengulas lanjut mesyuarat tersebut, Sophie memberitahu, pelbagai agenda dibincangkan membabitkan pelbagai pihak terlibat.
“Mesyuarat tersebut yang bertujuan membincangkan pelbagai perkara termasuk aspek persediaan dan penyelarasan aksi final pada tarikh berkenaan.
“Terlibat sama dalam mesyuarat berkenaan barisan Exco KDFA dan PBBS serta pihak pengadil dan sebagainya,” ujar Sophie kepada Arena Suara Sarawak.
Perlawanan akhir kempen Piala Premier Sarawak 2026 berlangsung pada 29 November ini di Stadium Taha Ariffin, Petra Jaya membabitkan dua pasukan berjiran, Kuching dan Samarahan.
Sepak mula perlawanan penentu juara kedua-dua pasukan dari Zon Selatan itu pukul 2:30 petang.
“Perlawanan akhir itu kelak kekal masa sama seperti ditetapkan sebelum ini iaitu pukul 2.30 petang,” kata Sophie.
Pasukan Kuching mara ke pentas final selepas mengatasi Serian dengan agregat (8-2).
Manakala, Samarahan yang juga finalis musim lalu mara ke perlawanan akhir selepas menyingkirkan juara musim lepas Bintulu dengan agregat (4-2).



