BINTULU: Pelancaran Inisiatif Kelestarian dan Hijau oleh Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) hari ini mencerminkan komitmen sektor korporat dalam menyokong aspirasi Sarawak mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Usaha ini dilaksanakan menerusi penggunaan teknologi hijau dan tenaga bersih dalam operasi pelabuhan.
Inisiatif berkenaan merangkumi pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) serta penggunaan Gantry Beroda Getah Hibrid (RTG), Reach Stacker elektrik, traktor terminal elektrik dan motosikal elektrik bagi mengurangkan pelepasan karbon serta meningkatkan kecekapan operasi.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni menyifatkan usaha berkenaan sebagai contoh terbaik sektor korporat menterjemahkan dasar pembangunan mampan kerajaan kepada tindakan yang memberi impak nyata. Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan inisiatif tersebut hari ini.
Menurutnya, langkah berkenaan selaras dengan hala tuju Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang meletakkan kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar sebagai teras pembangunan Sarawak.
“Pelancaran hari ini bukan sekadar mengenai pemasangan peralatan atau penggunaan teknologi baharu, tetapi merupakan manifestasi komitmen bersama untuk memastikan pertumbuhan ekonomi dan tanggungjawab terhadap alam sekitar bergerak seiring.
“Bintulu Port telah menunjukkan kepimpinan yang baik dalam melaksanakan amalan operasi yang lebih mampan dan rendah karbon, sekali gus menyokong agenda peralihan tenaga yang sedang dipacu oleh kerajaan negeri,” katanya.
Menurut Hazland, Sarawak kini giat melaksanakan pelbagai dasar dan strategi bagi memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju ekonomi hijau dan tenaga bersih di rantau ini.

Beliau berkata, PCDS 2030 yang menjadi pelan pembangunan utama negeri dipacu oleh enam sektor ekonomi utama iaitu pembuatan, pertanian komersial, pelancongan, perhutanan, perlombongan dan perkhidmatan, dengan sokongan pendigitalan, inovasi serta penggunaan tenaga bersih.
Usaha itu turut diperkukuh menerusi Pelan Tindakan Kelestarian Sarawak 2030 yang menggariskan hala tuju pembangunan tenaga boleh diperbaharui, biodiversiti, industri hijau, pengurangan sisa dan pembangunan infrastruktur pintar.
Dalam pada itu, Hazland berkata Dasar Peralihan Tenaga Sarawak (SET-P) yang dilancarkan pada tahun lalu menjadi pemangkin utama kepada transformasi sektor tenaga negeri dan dijangka menjana lebih RM550 bilion kepada ekonomi Sarawak menjelang 2050.
Menurut beliau, dasar tersebut turut dijangka mewujudkan 80,000 peluang pekerjaan baharu selain menarik pelaburan bernilai antara RM580 bilion hingga RM700 bilion.
“Lebih 75 peratus manfaat ekonomi yang bakal dijana melalui SET-P dijangka dinikmati oleh golongan berpendapatan rendah dan sederhana, sekali gus memastikan proses peralihan tenaga berlaku secara inklusif dan saksama,” ujarnya.
Beliau menambah bahawa SET-P memberi tumpuan kepada tujuh tonggak utama meliputi tenaga boleh diperbaharui, gas asli, kecekapan tenaga, mobiliti rendah karbon, hidrogen bersih, teknologi penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) serta tenaga alternatif.
Pada masa sama, Sarawak terus memperkukuh kedudukannya sebagai hab hidrogen bersih menerusi Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen Sarawak (SHER) yang dilancarkan awal tahun ini.
Projek seperti H2ornbill dan H2biscus membuktikan kesungguhan kerajaan negeri dalam membangunkan industri hidrogen sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baharu yang mampan.
Pada majlis itu, Hazland turut merakamkan penghargaan kepada BPHB di bawah kepimpinan Ketua Pegawai Executif Kumpulan, Dato Ruslan Abdul Ghani atas komitmen berterusan syarikat dalam mengintegrasikan amalan kelestarian ke dalam operasi pelabuhan.
Beliau menegaskan pelancaran Inisiatif Kelestarian dan Hijau BPHB bukan sekadar menandakan penggunaan aset dan kemudahan baharu, malah mencerminkan kesediaan sektor industri untuk bergerak seiring dengan aspirasi Sarawak dalam membina ekonomi yang lebih hijau, berdaya tahan dan inklusif menjelang 2030 dan seterusnya mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih pada 2050.




