BINTULU: Kehangatan Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Utara yang bakal disertai lebih 2,300 perwakilan daripada 19 cawangannya kian terasa.
Walaupun berlangsung lebih sebulan awal daripada jadual asal, segala persediaan berjalan dengan lancar seperti yang dirancang. Bahkan majlis raptai penuh yang berlangsung di Dewan Suarah Bintulu hari ini juga dilaksanakan dengan jayanya.
Turun padang bagi memastikan acara berprestij ini berjalan lancar ialah Timbalan Premier Sarawak merangkap Timbalan Presiden PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, yang juga Pengerusi Konvensyen Khas PBB Zon Utara itu.
Konvensyen Khas PBB 2023 bertemakan ‘PBB Teras Kestabilan, Kemajuan dan Kemakmuran Sarawak’ itu bertujuan memberi penerangan kepada ahli-ahlinya mengenai dasar baharu dan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030 yang diperkenalkan oleh Kerajaan Sarawak.
Esok, konvensyen sehari itu akan bermula seawal jam 7.30 pagi, bermula dengan pendaftaran perwakilan.
Diikuti sesi penerangan mengenai dasar ekonomi baharu dan PCDS 2030 oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datuk Muhammad Abdullah Zaidel pada jam 8.30 pagi.
Seterusnya, pada jam 9.30 pagi akan berlangsung sesi pembentangan usul oleh Naib Presiden PBB merangkap Ketua Cawangan PBB Kemena, Datuk Sri Dr. Stephen Rundi Utom, diikuti sesi perbahasan usul.
Kemuncak majlis adalah pada jam 2 petang dengan kehadiran Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Presiden PBB itu juga bakal merasmikan majlis dan menyampaikan amanatnya kepada ribuan perwakilan yang hadir.
Untuk rekod, konvensyen khas dianjurkan di empat zon dengan Zon Kuching telah berlangsung pada 23 September lalu dan Zon Betong pada 8 Oktober lalu. Sementara Zon Sibu akan diadakan pada 11 November depan.




