PIALA PREMIER SARAWAK 2026
ASAJAYA: Ketua jurulatih Bintulu, Farhan Abdullah@Anai Igang, percaya peluang pasukannya melangkah ke final Piala Premier Sarawak 2026 masih terbuka meskipun tewas 1-4 kepada Samarahan pada aksi separuh akhir pertama di Kompleks Sukan Asajaya, petang tadi.
Beliau berkata, kekalahan itu belum mematahkan semangat pasukannya kerana masih mempunyai baki 90 minit pada aksi timbal balik di Bintulu, Sabtu depan, untuk memburu kebangkitan.
“Kita belum panik berikutan kekalahan petang tadi. Masih ada 90 minit pada aksi timbal balik di Bintulu Sabtu nanti,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.
Farhan percaya keputusan masih boleh berubah sekiranya pemain memberikan komitmen tinggi dan memanfaatkan peluang yang terhidang pada perlawanan kedua.
“Jika Samarahan boleh menjaringkan empat gol, kami juga boleh berbuat demikian.
“Kita perlu memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri dan menjaringkan gol sebanyak mungkin pada baki 90 minit itu,” katanya.
Mengulas aksi pasukannya, Farhan mengakui pemain sudah berusaha memberikan persembahan terbaik, namun kegagalan menyudahkan peluang menjadi antara faktor kekalahan.
“Kita mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol, cuma gagal berbuat demikian,” jelasnya.




