BINTULU: Pasukan Bintulu siap sedia untuk mengharungi gelora luar biasa di sebalik pertemuan dengan jiran tetangga, Sibu untuk aksi terakhir Zon Utara, Liga Premier Sarawak 2026 (SPL 2026) di Stadium Bintulu petang esok (Sabtu).
Dengan misi meraih kemenangan yang membawa pulang tiga mata mutlak, Bintulu mahu mengekalkan kedudukan di tangga teratas sekali gus bergelar juara.
Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Bintulu (BIFA), Sophie Shariee, memberitahu kredit berganda dimiliki anak-anak buah Farhan Abdullah@Anai Igang ketika ini.
Pasukan itu masih kekal di kedudukan teratas dengan 13 mata, selain akan beraksi di gelanggang sendiri.
Kelebihan itu, kata Sophie, perlu dimanfaatkan sebaik mungkin dan mereka tidak mahu menyia-nyiakannya.
“Kami tetap menghormati Sibu untuk perlawanan penting petang esok.
“Kita tahu pasukan pelawat ketika ini berprestasi cemerlang. Apa pun, kemenangan tetap menjadi fokus kami,” ujar Sophie kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau percaya Farhan sudah merangka strategi khas untuk diguna pakai pemainnya bagi mengharungi perlawanan petang esok.
Justeru, terpulang kepada pemain untuk mengadaptasikannya kelak.
“Apa yang penting, pemain perlu bijak memanfaatkan peluang yang dimiliki sepanjang perlawanan.
“Elak melakukan kesilapan yang boleh mengundang musibah,” tambah Sophie.
Dalam pada itu, Sophie menyeru semua warga Bintulu hadir beramai-ramai ke stadium petang esok untuk memberi sokongan dan semangat kepada pemain.



