KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, berkenan mengadakan lawatan ke Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC) pagi tadi.
Ketibaan beliau dan isteri pada jam 10 pagi disambut mesra oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat merangkap Timbalan Pengerusi SBC, Adana Jed dan isteri, Azizah Samsudin; serta Ketua Pegawai Eksekutif SBC, Datuk Dr Yeo Tiong Chia dan isteri, Datin Catherine Voo.

Semasa lawatan, Wan Junaidi dan Fauziah diberi taklimat terperinci mengenai penyelidikan dan pembangunan yang dijalankan oleh SBC ke atas tumbuh-tumbuhan tempatan yang berpotensi untuk menghasilkan produk bio komersial, termasuk penemuan ubat-ubatan tradisional.
Lawatan Tun Pehin Sri dan Toh Puan hari ini turut meliputi Taman Etnobotani, Kemudahan Pembiakan Alga, Kemudahan Ganoderma dan Bangunan Penyelidikan Biodiversiti Bersepadu sebelum berkenan menanam pokok Usah Badew atau Red Mangosteen sebagai simbolik lawatan tersebut.
Lawatan hampir dua jam itu merupakan satu pengalaman yang amat menarik dan satu proses pembelajaran untuk mengenali dengan lebih mendalam kegunaan tumbuhan asli di Sarawak, yang perlu terus dikaji kerana manfaat daripada penyelidikan dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi tempatan.
Selain itu, kerjasama strategik dengan pihak swasta juga penting untuk memastikan kejayaan komersialisasi produk-produk tempatan tersebut.
Dalam pada itu, Wan Junaidi dan Fauziah turut menzahirkan sokongan terhadap aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan (P&P) yang sedang giat diusahakan oleh pihak SBC.
P&P adalah penting kerana ia merupakan pelaburan masa hadapan yang bukan sahaja memacu inovasi dan pertumbuhan ekonomi, tetapi juga memberi masyarakat alat yang diperlukan untuk mengatasi cabaran serta meningkatkan kualiti hidup.
Sebelum keberangkatan pulang, Tun Pehin Sri dan Toh Puan berkenan menandatangani buku pelawat dan seterusnya menjamu hidangan tengah hari bersama-sama tetamu kehormat.
Lawatan yang diadakan itu mencerminkan sokongan terhadap usaha pemeliharaan dan pemanfaatan biodiversiti negeri demi kemajuan sains, inovasi serta kesejahteraan masyarakat Sarawak secara keseluruhan.






