ALESSANDRO SYLA
(Pelatih UNIMAS)
MENJELANG perayaan, suasana dapur bertukar meriah dengan aroma biskut yang baru dibakar apabila ramai individu sibuk menyediakan pelbagai jenis biskut raya.
Biskut raya bukan sahaja menjadi hidangan kegemaran tetamu yang berkunjung ke rumah, malah turut melambangkan satu tradisi yang masih kekal dalam masyarakat hingga ke hari ini.
Bagi Siti Rohana Kadir, 49, suri rumah dari Kampung Semera Ulu, minatnya menghasilkan biskut raya bermula apabila menerima tempahan daripada saudara terdekat.
Menurutnya, pada awalnya beliau hanya membuat biskut bagi memenuhi permintaan keluarga sebelum aktiviti itu berkembang menjadi sumber rezeki setiap kali perayaan.
“Dari situ saya mula belajar menghasilkan pelbagai jenis biskut dan mula aktif pada tahun 2023.
“Kebanyakan saya belajar sendiri membuat biskut berdasarkan resipi di media sosial atau mencuba resipi baharu,” katanya ketika ditemu bual Suara Sarawak.
Menurutnya, biskut raya memainkan peranan penting dalam memeriahkan sambutan Aidilfitri kerana ia menjadi antara pemanis mulut yang disajikan kepada tetamu.

“Bagi saya, biskut raya menjadi penyeri suasana rumah ketika tetamu datang berkunjung. Ia juga sudah menjadi budaya yang tidak dapat dipisahkan daripada sambutan Aidilfitri.
“Selain kek lapis, biskut juga sesuai dihidangkan terutama tetamu yang tidak mahu makanan berat ketika datang beraya,” jelasnya lagi.
Tambah beliau, tat nanas dan makmur susu, merupakan biskut yang sering menjadi pilihan pelanggan setiap kali musim perayaan itu.
Jelasnya, proses menghasilkan biskut raya juga memerlukan ketelitian, terutama dalam pemilihan bahan bagi memastikan kualiti dan rasa sentiasa terjaga.
“Bahan asas seperti mentega, tepung dan gula aising perlu disediakan terlebih dahulu sebelum proses pembuatan dimulakan.
“Pemilihan mentega yang berkualiti juga sangat penting kerana ia mempengaruhi rasa biskut. “Untuk biskut premium saya menggunakan mentega jenama Lurpak, manakala bagi biskut mampu milik saya menggunakan mentega jenama Daisy,” katanya.
Beliau menjelaskan mentega yang digunakan perlu berada pada suhu bilik sebelum diadun bersama gula aising dan esen vanila sehingga berkrim dan sebati.
Selepas itu, bahan kering seperti tepung gandum, tepung jagung dan serbuk koko dimasukkan sedikit demi sedikit sehingga membentuk doh yang lembut.
“Doh tersebut kemudian dicanai dan dibentuk menggunakan acuan sebelum dihias dan dibakar di dalam ketuhar pada suhu antara 150 hingga 170 darjah Celsius sehingga masak.
“Biskut yang telah siap dibakar perlu disejukkan terlebih dahulu sebelum disimpan dalam bekas kedap udara bagi mengekalkan kerangupannya,” katanya.
Tambahnya, keunikan biskut yang dihasilkannya terletak pada tekstur, bentuk serta gabungan rasa yang dihasilkan melalui kombinasi resipi moden dan tradisional.
“Walaupun menggunakan bahan yang mampu milik, saya memastikan rasa biskut tetap sedap dan mampu menarik perhatian pelanggan,” ujarnya.
Beliau turut bersyukur apabila sambutan pelanggan terhadap biskut raya yang dihasilkannya semakin memberangsangkan dari tahun ke tahun, walaupun kos bahan mentah semakin meningkat.
Menurutnya, biskut tradisional seperti makmur susu, biskut bangkit, batang buruk dan tat nanas masih menjadi pilihan utama pelanggan kerana hidangan tersebut sering dikaitkan dengan suasana hari raya.
“Sehingga kini, biskut tradisional masih menjadi pilihan pelanggan kerana ia sudah menjadi hidangan wajib buat tetamu yang datang raya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap tradisi membuat biskut raya terus dikekalkan oleh masyarakat bagi melambangkan nilai kekeluargaan dan warisan budaya.
“Selain mengekalkan tradisi, kemahiran membuat biskut raya juga dapat membuka peluang untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan,” tambahnya.



