KUCHING: Persidangan dan Pameran Air dan Sisa Antarabangsa Borneo (BIWWEC) 2026 dijangka menghimpunkan lebih 4,000 peserta dari 19 negara di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 15 hingga 17 Julai ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi, berkata penganjuran dwitahunan tersebut akan disertai kira-kira 1,500 delegasi, 2,500 pelawat perdagangan, lebih 70 pempamer serta 75 penceramah dari seluruh dunia.
“BIWWEC 2026 mendapat sokongan Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi serta dianjurkan oleh Malaysian Water Association (MWA) Sarawak dengan kerjasama Sarawak Water Sdn Bhd sebagai rakan strategik utama,” katanya pada sidang media BIWWEC 2026, di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.
Hadir sama pada sidang media itu, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Liwan Lagang, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Water Malseni Jamal dan tetamu kehormat lain.
Mengulas lanjut Julaihi berkata, tema “Global Partnerships for a Climate-Ready Water Future” dipilih bagi menyediakan platform kepada semua pihak berkepentingan untuk membincangkan penyelesaian cabaran keselamatan air akibat urbanisasi, perindustrian dan perubahan iklim.
Jelasnya, penganjuran persidangan ini mencerminkan komitmen Sarawak dalam membangunkan sektor air dan sisa yang lebih mampan melalui pelaburan berterusan dalam infrastruktur, transformasi digital, pembangunan modal insan serta pemeliharaan alam sekitar.
Katanya lagi, BIWWEC 2026 turut memperkukuhkan aspirasi Sarawak untuk muncul sebagai hab kecemerlangan serantau dalam pengurusan air dengan mempamerkan pencapaian tempatan, menggalakkan kerjasama antarabangsa dan menarik pelaburan ke negeri ini.






