ARTIKEL

BMF cetus aura Borneo

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Demam Festival Muzik Borderland (BMF) 2026 semakin terasa apabila lebih 50 peratus tiket festival itu sudah habis dijual, walaupun acara yang dinanti-nantikan itu hanya akan berlangsung pada 11 hingga 12 September depan di Kampung Budaya Sarawak.

Sambutan luar biasa itu sekali lagi membuktikan BMF terus menjadi antara festival muzik elektronik (EDM) paling dinanti-nantikan di Borneo, dengan sasaran menghimpunkan 21,000 pengunjung dan menjana impak ekonomi langsung sekitar RM8 juta kepada Sarawak.

Pengasas BMF, Tiger Ming berkata, festival itu bukan sekadar menawarkan persembahan muzik bertaraf antarabangsa, malah membawa misi memperkenalkan budaya dan warisan Borneo kepada khalayak dunia.

“Seperti Festival S2O di Thailand yang berjaya mengangkat budaya Songkran ke pentas global, BMF turut mahu menjadikan budaya Borneo sebagai identiti utama festival tersebut.

“Borneo mempunyai budaya yang unik dan kami yakin budaya itu mampu menarik perhatian dunia apabila dipersembahkan melalui festival muzik bertaraf antarabangsa,” katanya dalam sidang media festival tersebut baru-baru ini.

Edisi kali ini bakal menyaksikan lebih 40 artis dari dalam dan luar negara akan menggegarkan pentas BMF.

Artis tersebut termasuk nama-nama besar seperti KSHMR, Ben Nicky, Blasterjaxx, Arcando, DNA (Mister Aloy & JayJax), Juelz serta RAMENGVRL yang akan bergandingan dengan Indahkus, Dia dan Kenz.

Bukan itu sahaja, pengunjung juga bakal disajikan pengalaman festival yang lebih mengasyikkan menerusi pentas serba baharu, produksi yang lebih gah, sistem pencahayaan dan visual yang dipertingkatkan, selain pelbagai kejutan sepanjang dua hari acara berlangsung.

Menambah kelainan pada tahun ini, BMF turut memperkenalkan bengkel kebudayaan tradisional yang diinspirasikan daripada kejayaan Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF), sekali gus memberikan peluang kepada pengunjung untuk mengenali budaya masyarakat Sarawak dengan lebih dekat.

Pelbagai hasil seni dan kraf tangan tempatan juga akan menghiasi kawasan festival, bukan sahaja sebagai tarikan kepada pengunjung, malah membuka ruang kepada pengusaha kreatif tempatan untuk mempromosikan karya mereka.

Tambah Tiger, pengumuman tarikh festival pada April lalu turut memberikan impak positif kepada sektor pelancongan.

“Ini kerana beberapa penginapan di sekitar Santubong, termasuk Damai Beach Resort, The Culvert dan Cocoon Resort, dilaporkan habis ditempah dalam tempoh singkat.

“Keadaan ini menunjukkan sambutan terhadap BMF amat menggalakkan apabila ramai yang mengambil peluang menempah bilik penginapan berhampiran kawasan konsert lebih awal,” ujarnya.

Sejak diperkenalkan pada 2023, BMF menarik lebih 33,000 pengunjung dan menjana kira-kira RM10.3 juta impak ekonomi langsung kepada Sarawak.

Melihat sambutan yang semakin menggalakkan, pihak penganjur merancang untuk menganjurkan dua lagi acara muzik di Kuching dan Miri menjelang penghujung tahun ini, sebelum menyasarkan empat acara setiap tahun mulai 2027 untuk terus mengangkat Sarawak sebagai destinasi festival muzik pilihan di Asia Tenggara.

BERITA LAIN

NIDJI bawa mesej perpaduan

Kumpulan muzik rock alternatif Indonesia, Nidji, mahu menjadikan pentas muzik sebagai ruang untuk menyebarkan mesej positif bagi meredakan ketegangan dan perselisihan faham antara rakyat Malaysia

BERITA TERBARU