KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) sedang menjalankan kajian terperinci mengenai kemungkinan bekerjasama dengan mana-mana gabungan parti politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sentimen di peringkat akar umbi masih bercampur-campur, justeru kajian lanjut perlu dilakukan sebelum sebarang keputusan dibuat.
Beliau berkata keputusan berhubung kerjasama itu akan ditentukan Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan dimuktamadkan oleh kepimpinan UMNO serta BN di peringkat pusat.
Sebelum ini, Ahmad Zahid memberikan mandat kepada Ab Rauf yang juga Ketua Menteri Melaka untuk mengadakan rundingan dengan mana-mana gabungan parti bagi menghadapi PRN berkenaan seperti dilapor Bernama.
Pada PRN Melaka 2021, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri, manakala Pakatan Harapan memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional dua kerusi.



