CYBERJAYA: Barisan Nasional (BN) kekal berada dalam Kerajaan Perpaduan selaras dengan pendirian dan resolusi yang diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU).
Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan itu merupakan ketetapan badan tertinggi parti dan semua pihak diminta menghormatinya.
Beliau turut menegaskan pelantikan atau pengguguran mana-mana anggota Kabinet merupakan hak mutlak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kenyataan itu dibuat susulan laporan bahawa Perdana Menteri memberi amaran kepada menteri, timbalan menteri dan pemegang jawatan agensi kerajaan supaya tidak menggunakan kedudukan mereka untuk menyerang rakan dalam Kerajaan Perpaduan ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).
Anwar dilaporkan berkata mana-mana pihak yang berbuat demikian boleh diminta melepaskan jawatan masing-masing seperti dilapor Bernama.



