SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) semalam melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 yang menggariskan sembilan teras di bawah tema ‘Hebatkan Semula Negeri Sembilan’.
Menurut Bernama, manifesto itu dilancarkan Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, dengan memberi tumpuan kepada ekonomi dan pembangunan, peningkatan taraf hidup, kebajikan rakyat, pendidikan, modal insan, belia, wanita serta keusahawanan.

Turut menjadi fokus ialah pemerkasaan sektor pertanian, agromakanan, pembangunan desa dan FELDA, penyediaan kediaman serta perumahan, selain usaha memelihara alam sekitar dan memperkukuh sektor pelancongan.
Manifesto berkenaan turut menggariskan komitmen memperkasakan agama, adat, budaya, warisan dan masyarakat Orang Asli, di samping memberi penekanan kepada sukan, rekreasi, perpaduan serta penambahbaikan penyampaian perkhidmatan.
Pengundian awal PRN Negeri Sembilan ditetapkan pada 28 Julai, manakala hari mengundi berlangsung pada 1 Ogos.



