Bobby senjata Sarawak, Sabtu ini

PENYERANG senior, Bobby Gonzales, 35, akan menjadi sandaran utama Sarawak dalam aksi play-off menentang Kuching FA di Stadium Sarawak Sabtu ini.

Pemain kelahiran Sabah itu baru sahaja menerima anugerah Penjaring Terbanyak Liga Premier 2019 bagi kategori pemain tempatan dengan sembilan gol.

Musim lalu, Bobby turut memenangi anugerah tersebut dengan 12 jaringan. Walaupun menerima tawaran daripada beberapa pasukan Liga Super dan Liga Premier untuk musim 2020, namun Bobby belum lagi membuat keputusan. “Sekarang ini saya fokus kepada aksi play-off… bagi memastikan kemenangan memihak kepada kami,” kata Bobby.

Malah katanya, jawapan mengenai tawaran bergantung kepada keputusan Sabtu ini. “Apa yang pasti saya mahu terus bersama-sama pasukan Sarawak.

“Namun saya belum lagi menerima sebarang tawaran daripada pasukan Sarawak untuk musim 2020,” ujar Bobby.

Bagi Bobby, pasukan Kuching FA bukanlah asing kerana sebahagian besar pemainnya adalah bekas rakan-rakannya.