KUCHING: Semangat kesukanan tanpa mengira usia terserlah apabila lebih 400 pemain, pegawai pasukan dan jurulatih dari tujuh negara ASEAN berhimpun di Kuching bagi menjayakan Kejohanan Bola Keranjang Veteran ASEAN Ke-35 yang berlangsung dari 11 hingga 15 Ogos ini.
Kejohanan memasuki edisi ke-35 itu menghimpunkan 29 pasukan dari Malaysia, Brunei Darussalam, Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penyertaan pemain berusia lingkungan 40 hingga 75 tahun membuktikan usia bukan penghalang untuk terus aktif dan kompetitif dalam sukan.
“Walaupun keupayaan fizikal mungkin berubah apabila usia meningkat, semangat persaingan dan cinta akan sukan tetap kekal hidup.


“Ini merupakan contoh terbaik penuaan aktif, kehidupan sihat dan penyertaan dalam sukan sepanjang hayat,” katanya pada Majlis perasmian Kejohanan Bola Keranjang Veteran ASEAN Ke-35 2026 di Stadium MBKS semalam.
Kejohanan anjuran ASEAN Veteran Basketball Conference (AVBC) itu mempertandingkan beberapa kategori termasuk bawah 40 tahun, bawah 50 tahun, bawah 60 tahun serta kategori terbuka veteran dengan pemain tertua berusia 75 tahun turut mengambil bahagian.
Sementara itu, Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng berkata Kuching berbangga kerana sekali lagi diberi kepercayaan menjadi tuan rumah kejohanan berprestij itu buat kali kelima.
Menurut beliau, kejohanan tersebut menjadi wadah memperkukuh persahabatan, semangat kesukanan, gaya hidup sihat dan hubungan erat dalam kalangan negara ASEAN.





