ARTIKEL

PASUKAN yang dibarisi Friday dan Mohamad bergambar kenangan selepas perlawanan bola sepak VIP di Saratok

Bola sepak VIP eratkan hubungan pemimpin dan masyarakat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SARATOK: Bukan soal menang atau kalah, sebaliknya pertandingan bola sepak Orang Kenamaan (VIP) sempena Pesta Saratok 2026 menjadi medan mengimbau kenangan lama, selain mengeratkan hubungan antara pemimpin, ketua masyarakat dan rakyat.

Pertandingan santai yang jarang-jarang diadakan itu menyaksikan pasukan dibarisi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik dan ADUN Kalaka, Mohamad Duri bersama ketua jabatan turun beraksi menentang pasukan ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) dari Saratok, Roban dan Kabong.

Lebih menarik, aksi berkenaan bukan sekadar perlawanan di atas padang, malah menghidupkan kembali suasana pertandingan bola sepak kampung yang suatu ketika dahulu begitu dekat dengan kehidupan masyarakat.

Bagi Friday, pertandingan berkenaan memberikan peluang kepadanya untuk beriadah dalam suasana santai, selain mengimbau kembali kenangan ketika bola sepak menjadi antara aktiviti utama yang menyatukan komuniti.

Katanya, walaupun usia dan kesibukan tugas mungkin membataskan peluang untuk turun ke padang seperti dahulu, minat terhadap sukan itu masih kekal.

“Dahulu bola sepak antara aktiviti yang menyatukan masyarakat. Jadi, apabila ada peluang seperti ini, kita turun bermain bersama-sama dan mengimbau kembali kenangan lama,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata pertandingan berkenaan mempunyai nilai tersendiri kerana membuka ruang kepada pemimpin, ketua jabatan, KMKK dan masyarakat untuk berinteraksi dalam suasana yang lebih santai dan tidak formal.

Menurutnya, aktiviti sedemikian wajar diteruskan kerana bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah mampu mengeratkan hubungan antara wakil rakyat, ketua jabatan, KMKK dan masyarakat.

“Kadang-kadang kita terlalu sibuk dengan tugas masing-masing. Jadi, apabila ada peluang seperti ini, kita turun padang bersama-sama.

“Yang penting ialah semangat kesukanan dan hubungan yang terjalin. Menang kalah itu perkara kedua,” katanya.

Aksi di Padang Majlis Daerah Saratok (MDS) itu turut diserikan dengan gelagat pemain yang menghiburkan, khususnya apabila individu yang biasanya dilihat dalam urusan rasmi tampil lengkap dengan jersi dan kasut bola untuk beraksi di tengah padang.

Sorakan penyokong serta rakan yang hadir menambahkan kemeriahan perlawanan, sekali gus menjadikan aksi berkenaan antara pengisian santai yang mencuri perhatian sepanjang Pesta Saratok 2026.

Walaupun ada pemain yang masih menunjukkan sentuhan bola, tidak kurang juga yang terpaksa mengakui stamina tidak lagi seperti zaman muda.

Namun, itulah yang menjadikan perlawanan berkenaan lebih menarik apabila setiap gerakan, jaringan dan aksi pemain disambut dengan sorakan serta gurauan daripada rakan sepasukan dan penyokong.

Lebih penting, padang bola pada hari berkenaan menjadi ruang untuk semua mengetepikan seketika urusan rasmi dan menikmati kemeriahan Pesta Saratok dalam semangat kekitaan.

Pasukan yang dibarisi Friday dan Mohamad akhirnya memenangi perlawanan tersebut dengan keputusan 8-3.

Namun, di sebalik keputusan besar itu, nilai sebenar pertandingan terletak pada kenangan, kemesraan dan hubungan yang terjalin sepanjang berada di atas padang.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU