SERIAN: Peruntukan khas di bawah Vot Pembangunan P43 telah meningkat daripada RM1.1 juta kepada RM1.49 juta sehingga suku kedua tahun 2025.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak, Jamri Masran, berkata peningkatan jumlah tersebut mencerminkan keperluan berterusan untuk memastikan aset-aset jabatan, terutama kenderaan operasi, sentiasa berada dalam keadaan terbaik dan bersedia pada bila-bila masa.
“Kerja-kerja pembaikan merangkumi pelbagai jenis kenderaan jabatan, termasuk jentera bomba, kenderaan khas, kenderaan utiliti dan kenderaan marin.
“Kesemua kenderaan ini memainkan peranan penting dalam memastikan operasi menyelamat dan pemadaman kebakaran dapat dilaksanakan dengan lebih cepat, cekap, dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perhimpunan Bulanan Jun 2025 di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian hari ini.

Dengan adanya peruntukan tersebut, beliau menegaskan Seksyen Kejuruteraan Jentera JBPM Sarawak komited untuk terus memastikan tahap kesiapsiagaan aset berada pada tahap tertinggi.
Majlis turut menyaksikan penyerahan peralatan mekanik secara simbolik kepada pelancaran Program Minggu Servis Siri 2/2025 yang akan diadakan mulai bulan Julai 2025.
Menurut Jamri, minggu servis merupakan salah satu program yang dilaksanakan oleh Seksyen Kejuruteraan sebanyak tiga siri setiap tahun, melibatkan servis kenderaan bomba di seluruh negeri Sarawak.
Mengenai perhimpunan bulanan itu, beliau berharap agar ia bukan sahaja menjadi landasan penyampaian maklumat, malah sebagai peluang dan ruang untuk mengeratkan silaturahim sesama pegawai bomba.
Beliau pada masa yang sama menzahirkan penghargaan kepada setiap pegawai bomba di Sarawak atas komitmen dalam mendukung keselamatan dan kesejahteraan melalui perkhidmatan profesional yang disalurkan kepada masyarakat.
“Ini adalah selaras dengan tonggak kedua Malaysia Madani, iaitu kesejahteraan yang membawa makna keseimbangan atau lebih tepat lagi kehidupan dan segala sisinya yang terangkum dalam keseimbangan.
“Ia turut selaras dengan objektif pertama dan kedua Dasar Kebombaan dan Penyelamatan Negara 2020-2030, iaitu mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan membudayakan amalan keselamatan yang tinggi dalam masyarakat.”
Turut hadir, Timbalan Pengarah JBPM Sarawak, Tiong Ling Hii, dan Penguasa Kanan Bomba I, Alimaddia Bukri.



