MIRI: Bandar raya Miri sekali lagi bakal bergema dengan alunan muzik jaz apabila Borneo Jazz Festival 2025 kembali menemui peminat dari 31 Oktober hingga 2 November ini di Eastwood Valley Golf & Country Club.
Datuk Bandar Miri merangkap ADUN Pujut, Adam Yii Siew Sang, berkata festival berprestij itu menjadi kebanggaan warga Miri kerana keindahan landskap, kekayaan warisan budaya serta semangat komuniti yang sentiasa dekat dengan muzik.
“Ia bukan sahaja sebuah acara hiburan, tetapi wadah yang mengangkat Miri sebagai pusat seni persembahan bertaraf antarabangsa,” katanya dalam sidang media di Dewan Bandaraya Miri, pada Jumaat (12 September).
Beliau menjelaskan, selepas sekian lama dikendalikan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), tanggungjawab penganjuran festival itu diserahkan sepenuhnya kepada Majlis Bandaraya Miri (MBM) bermula tahun lalu.
Tahun ini merupakan kali kedua MBM memikul amanah berkenaan dengan sokongan STB dan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP).
Menariknya, festival kali ini dikendalikan sepenuhnya oleh Miri Event & Decor Specialist – pasukan tempatan yang dianggotai oleh seratus peratus anak Miri.
“Ini membuktikan kemampuan dan kepakaran komuniti kita dalam menganjurkan acara bertaraf antarabangsa selain memperkukuh industri kreatif tempatan,” tegasnya.
Yii turut mengajak masyarakat Sarawak, Semenanjung Malaysia, Brunei, Indonesia serta pelancong antarabangsa hadir ke Miri untuk merasai sendiri keunikan festival tersebut.
Barisan artis yang bakal menghangatkan pentas termasuk Aina Abdul, Aisya Retno, Amsyar Leee, Jaz Hayat, NonaRia, Tabitha King, On The Rug, Aruel Ariel & Fasola, Pop n Bop serta The Echoes. Festival turut menampilkan selebriti Kim Goodburn dan Melisha Lin sebagai hos.
Dengan gabungan muzik, budaya dan hospitaliti masyarakat tempatan, Borneo Jazz Festival 2025 diyakini muncul sebagai antara edisi paling meriah, sekali gus memperkukuh kedudukan Miri sebagai destinasi pelancongan dan seni persembahan bertaraf antarabangsa.





