BINTULU: Sebuah bot rekreasi memancing telah ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Bintulu dalam Operasi Khas Pagar Laut 1/2025, Op Tiris 3.0, dan Op Permai 01/2019 kerana gagal mempamerkan serta mengemukakan dokumen dan lesen sah.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah, berkata bot yang dipercayai beroperasi tanpa lesen itu ditahan semasa rondaan pagi tadi.
Menurutnya, bot berkenaan dikesan kira-kira jam 9.50 pagi pada kedudukan 4.3 batu nautika di utara Kuala Kemena oleh pasukan rondaan yang sedang melaksanakan ketiga-tiga operasi bersepadu itu.
“Pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan oleh seorang kru lelaki warga tempatan berusia 26 tahun yang gagal mengemukakan sebarang dokumen termasuk lesen bot,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya lagi, bot tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Kaedah-kaedah Bot 1953 kerana gagal mempamerkan dan mengemukakan dokumen serta lesen sah—kesalahan yang boleh dikenakan denda atau kompaun jika disabitkan.
Susulan itu, bot bersama kru telah diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut.
Maritim Malaysia dalam kenyataannya turut menasihatkan komuniti maritim khususnya pengusaha bot rekreasi dan nelayan agar sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan, serta memastikan dokumen berkaitan bot lengkap dan sah sebelum ke laut.
“Pemilik dan pengendali bot perlu menitikberatkan aspek pematuhan undang-undang dan keselamatan bagi mengelak sebarang insiden yang tidak diingini,” tegas Suffian.
Sebarang aduan, maklumat atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 999, Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu di 086-314254, atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di 082-432544 untuk tindakan segera.


