KUCHING: Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) hari ini menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM3.6 juta kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) bagi tahun kewangan 2024.
Simbolik penyerahan disempurnakan Ketua Presiden/Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB, Ruslan Abdul Ghani kepada Pengurus Besar TBS, Datuk Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie di Wisma Bapa Malaysia dengan disaksikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Jumlah zakat yang disumbangkan tahun ini merupakan yang tertinggi pernah diberikan oleh BPHB.
Menurut Ruslan, pembayaran zakat ini bukan sahaja bertujuan membantu golongan yang memerlukan tetapi juga mengukuhkan hubungan serta meningkatkan kepercayaan pelanggan terhadap syarikat.
“Sebagai sebuah syarikat korporat, BPHB bukan sahaja menekankan kualiti perkhidmatan tetapi turut memainkan peranan dalam memperkukuh kesejahteraan komuniti menerusi pengagihan keuntungan syarikat,” katanya.
Penyerahan zakat perniagaan ini, katanya lagi, mencerminkan komitmen berterusan BPHB dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui peruntukan Wakalah
serta menyokong usaha kerajaan negeri dalam membangunkan komuniti yang lebih sejahtera.



