KUCHING: Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM3.2 juta bagi tahun 2026 kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) di Kompleks Satria Pertiwi, di sini hari ini.
Penyerahan zakat tersebut disaksikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Dalam majlis tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BPHB, Datuk Ruslan Abdul Ghani menyerahkan replika cek zakat perniagaan kepada Pengurus Besar TBS, Datuk Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie.
Turut menyaksikan penyerahan tersebut ialah Pengerusi BPHB Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datuk Misnu Taha.
Penyerahan zakat perniagaan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan sektor korporat dalam menunaikan tanggungjawab sosial.
Pada masa sama, ia turut menyokong usaha memperkukuh kebajikan golongan yang memerlukan di Sarawak melalui institusi zakat.




