BEIJING: Kepentingan BRICS sebagai platform untuk memupuk perpaduan dan kerjasama antara negara-negara Selatan Global telah meningkat, kata Jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning, pada Selasa, seperti yang dilaporkan oleh Agensi Berita Rusia (TASS).
“Perwakilan BRICS telah berkembang lebih luas, daya tarikan dan pengaruhnya telah meningkat dengan ketara, menjadikan organisasi ini platform penting untuk menggalakkan kerjasama dan perpaduan dalam kalangan negara-negara Selatan Global,” kata jurucakap tersebut sambil mengulas kenyataan Pembantu Kremlin, Yury Ushakov, mengenai kejayaan integrasi ahli BRICS baharu.
Konsensus untuk memberikan Belarus, Bolivia, Indonesia, Kazakhstan, Malaysia, Thailand, Uganda, dan Uzbekistan status negara rakan kongsi menandakan pencapaian baharu dalam kerjasama kalangan negara anggota BRICS, tambah jurucakap itu.
Diplomat tersebut juga menekankan bahawa China kekal komited untuk mengukuhkan kerjasama dengan negara anggota BRICS dan negara rakan kongsi.
Sebelum itu, Ushakov menyatakan bahawa Rusia telah menganjurkan 250 acara sebagai sebahagian daripada jawatan presiden BRICSnya. Agenda tersebut termasuk perbincangan mengenai bidang interaksi yang telah lama wujud dan bidang kerjasama baharu.
Menurut Ushakov, aspek unik jawatan presiden Rusia adalah usaha Moscow untuk memastikan kelancaran integrasi ahli BRICS baharu ke dalam struktur dan cara interaksi sedia ada. – BERNAMA



