KEINDAHAN landskap pesisir pantai Sarawak, kehebatan kejuruteraan jambatan moden serta keunikan budaya masyarakat tempatan bakal dipaparkan menerusi siri dokumentari perjalanan terbaharu berjudul Bridging Borneo, yang akan ditayangkan secara eksklusif di TV Sarawak (TVS) menerusi Astro Saluran 122.
Diterbitkan oleh YG Films dan diterajui penerbit Yusmal Ghazali, siri dokumentari enam episod ini menampilkan perjalanan menyusuri rangkaian jalan pesisir pantai Sarawak yang menghubungkan pelbagai kawasan pesisir melalui pembinaan jambatan utama merentasi sungai ikonik negeri ini.
Siri ini dijadualkan membuat penampilan sulung esok pada pukul 5.30 petang dan akan bersiaran pada setiap Ahad pada waktu yang sama.
Menurut Yusmal, Bridging Borneo bukan sekadar memaparkan infrastruktur fizikal, malah mengetengahkan bagaimana pembinaan jambatan membawa perubahan besar kepada kehidupan masyarakat setempat dari aspek sosial, ekonomi dan pelancongan.
“Melalui siri ini, kami ingin membawa penonton melihat sendiri bagaimana jambatan ini menjadi penghubung yang menyatukan komuniti, membuka peluang ekonomi dan memudahkan perjalanan di sepanjang kawasan pesisir Sarawak,” katanya kepada Suara Sarawak.
Episod pertama yang bertajuk The Journey Begins akan memulakan pengembaraan di Jambatan Batang Samarahan, yang menjadi pintu masuk kepada pengalaman perjalanan pesisir pantai Sarawak.
Episod ini turut menampilkan Jambatan Batang Samarahan baharu serta menjelaskan keseluruhan laluan rangkaian jalan pesisir pantai Sarawak.
Penonton juga akan dibawa meneroka pelbagai lokasi menarik di kawasan Asajaya dan Sadong Jaya yang kini lebih mudah diakses hasil pembangunan infrastruktur tersebut.
Sepanjang enam episod, dokumentari ini akan menelusuri beberapa jambatan utama, termasuk Jambatan Batang Sadong, Jambatan Batang Saribas 1, Jambatan Batang Rajang, Jambatan Muara Lassa dan Jambatan Tun Taib Mahmud.
Setiap episod akan menampilkan kisah di sebalik pembinaan jambatan berkenaan serta destinasi unik yang dihubungkannya.
Selain menyaksikan keindahan alam semula jadi Borneo yang masih terpelihara, penonton turut berpeluang mengenali pelbagai makanan tradisional, hasil kraf tempatan dan warisan budaya masyarakat yang menjadikan Sarawak begitu istimewa.
Berkongsi harapannya terhadap siri tersebut, Yusmal berkata, beliau mahu rakyat Sarawak lebih mengenali dan menghargai kemudahan ketersambungan jalan raya yang kini membolehkan perjalanan lebih lancar di sepanjang rangkaian jalan pesisir pantai Sarawak.
“Harapan kami adalah agar rakyat Sarawak dapat mengetahui dan menikmati manfaat jaringan jalan raya yang semakin baik, sekali gus memahami impak pembangunan yang berlaku di kawasan pesisir negeri ini,” jelasnya.
Mengulas proses penerbitan, beliau berkata, penggambaran berjalan lancar hasil kerjasama penuh daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak serta pejabat daerah yang terlibat di lokasi penggambaran.
Menurutnya, cabaran utama bukanlah dari segi logistik atau operasi, sebaliknya memilih dan menampilkan pelbagai tarikan menarik yang terdapat di sepanjang laluan pesisir pantai Sarawak.
Dengan gabungan elemen pengembaraan, dokumentari, pelancongan dan pembangunan infrastruktur, Bridging Borneo dijangka menjadi tontonan yang bukan sahaja menghiburkan, malah membuka mata penonton terhadap transformasi yang sedang berlaku di Bumi Kenyalang.



