KUCHING: Kayuhan Kepelbagaian Budaya Brompton (Brompton Tribal Ride) 2025 bakal berlangsung di sekitar bandar raya Kuching pada 30 Ogos hingga 1 September ini.
Wakil Penganjur, W. G. Cycle berkata, acara itu bakal menyaksikan gabungan kepelbagaian budaya dalam kalangan komuniti menerusi kayuhan basikal.
“Acara ini mengundang para peminat Brompton dari seluruh Malaysia dan luar negara untuk menerokai ibu kota Sarawak dengan cara yang istimewa menerusi aktiviti berbasikal melalui jejak warisan, laluan tepi sungai, serta kawasan kampung yang penuh warna-warni.
“Para peserta akan mengayuh melalui lokasi ikonik seperti Tebingan Kuching, Jambatan Darul Hana, dan Muzium Budaya Borneo, dan lain-lain yang akan menampilkan kraf tradisional, hidangan tempatan, serta penceritaan warisan masyarakat asal.
“Ini bukan sekadar kayuhan, ia adalah sebuah perjalanan yang akan mendalami jiwa Sarawak,” kata jurucakap W.G. Cycle.
Kayuhan kali ini turut disertai peserta dari China, Hong Kong, Filipina, Jerman, Indonesia, Thailand, dan Singapura.
“Acara ini mencerminkan tarikan antarabangsa yang semakin berkembang serta reputasi Sarawak sebagai persimpangan budaya,” katanya menerusi satu kenyataan.
Orang ramai yang ingin turut serta digalakkan hadir pada hari tersebut bagi memeriahkan suasana kayuhan sempena hari kemerdekaan.
Acara ini juga menekankan aspek eko-pelancongan dan gaya hidup sihat, menggalakkan perjalanan mampan dan kehidupan aktif.
Selain pengalaman fizikal, acara ini turut memupuk ikatan komuniti, dengan peluang untuk bertemu rakan penunggang lain, berkongsi kisah, dan membina persahabatan yang berkekalan.
Kayuhan Brompton Tribal 2025 turut mengesahkan acara tersebut mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak.





